
Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata kejadian jam 9.15 malam itu berpunca akibat rasa tidak puas hati seorang daripada suspek selepas ditegur mangsa kerana minum arak dan mabuk ketika menaiki lif bersama.
Menurutnya, perbalahan dalam lif itu berterusan sehingga ke hadapan rumah mangsa yang berusia 45 tahun dan kedua-dua suspek memukulnya menggunakan kayu dan topi keledar.
Mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Hasil siasatan lanjut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di Kota Damansara kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
“Soal siasat ke atasnya mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama adik lelakinya berusia 24 tahun yang kini masih bebas,” katanya dalam kenyataan.
Suspek pertama direman enam hari hingga 14 Okt dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mohamad Fakhruddin turut memohon kerjasama orang ramai menjejak seorang lelaki dikenali R Magendran dari di A-16-17 Blok A (Melur), Pelangi Damansara, Petaling Jaya bagi membantu siasatan.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Hafizee Ismail di talian 013-358 7571.