
Menurut laporan Berita Harian, wanita berusia 37 tahun itu dikatakan mahu mengelilingi pulau berkenaan sebanyak enam kali dan bertapa sebagai satu amalan perubatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, wanita yang bekerja sebagai penjual sayur itu sudah beberapa kali ke Pulau Besar sendirian atas tujuan perubatan.
Katanya, wanita itu datang ke pulau berkenaan menaiki bot nelayan pada pagi kelmarin dan merancang untuk berjalan mengelilingi Pulau Besar mulai tengah hari hingga petang atau senja sebelum bermalam di Surau Pulau Besar.
Menurutnya, ketika mahu mengelilingi pulau berkenaan untuk kali keempat wanita itu dilaporkan tersesat di satu kawasan berhampiran sebuah gua.
“Namun ketika berjalan menuruni kawasan bukit berbatu sekitar Gua Yunus, mangsa dikatakan hilang arah untuk menuju ke surau disebabkan cuaca gelap, sebelum menghubungi 999 untuk bantuan,” katanya.
Beliau berkata, sejurus menerima laporan itu satu operasi mencari dan menyelamat dilancarkan dengan turut disertai pasukan bomba dan nelayan.
Katanya, mangsa yang berasal dari Bukit Rambai, dekat sini, ditemui pasukan penyelamat pada jam 10.45 malam dan dibawa ke Jeti Anjung Batu serta Hospital Melaka untuk pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Mohd Faisal Fuad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 malam berhubung insiden berkenaan.
Susulan itu, katanya, sebuah jentera dan bot dengan kekuatan 10 anggota dari BBP Merlimau serta BBP Jasin dikejarkan ke lokasi.
Selepas kira-kira 30 minit tiba dan melakukan pencarian di lokasi, beliau berkata, mangsa ditemui selamat di kawasan hutan penjuru kiri pulau berkenaan.