Wajibkan murid belajar bahasa Tamil, Mandarin, cadang sayap Bersekutu Bersatu

Wajibkan murid belajar bahasa Tamil, Mandarin, cadang sayap Bersekutu Bersatu

Setiausaha biro penerangannya Foong Phui Si mendakwa pengurusan sekolah kebangsaan mengabaikan arahan kerajaan dan enggan menekankan pembelajaran bahasa Tamil dan Mandarin.

Foong Phui Si berkata sekolah kebangsaan hanya menawarkan bahasa Arab dan mengabaikan Tamil serta Mandarin dengan alasan kurang tenaga pengajar.
PETALING JAYA:
Sayap Bersekutu Bersatu mencadangkan Kementerian Pendidikan mewajibkan murid sekolah kebangsaan mempelajari bahasa Tamil dan Mandarin sebagai usaha menjalinkan perpaduan dan melahirkan masyarakat mahir pelbagai bahasa.

Setiausaha biro penerangannya Foong Phui Si, berkata ketika ini sekolah hanya diberi pilihan sama ada mahu menawarkan pembelajaran komunikasi bahasa Arab, Tamil atau Mandarin.

Namun, Foong mendakwa berdasarkan pemerhatian pihaknya sekolah hanya menawarkan pembelajaran bahasa Arab dan mengabaikan Tamil serta Mandarin dengan alasan kekurangan tenaga pengajar selain murid kurang berminat.

“Kementerian Pendidikan perlu menggalakkan lebih ramai murid Melayu belajar Bahasa Tamil dan Mandarin. Lebih baik, wajibkan semua pelajar untuk belajar ketiga-tiga bahasa ini.

“Ini bukan sahaja akan membantu menjalinkan perpaduan, ia juga bakal melahirkan masyarakat mahir dalam lima bahasa yang sekali gus meningkatkan kebolehpasaran pelajar di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Foong turut menyifatkan alasan kekurangan tenaga pengajar yang menyebabkan dua bahasa berkenaan kurang ditawarkan di sekolah kebangsaan ketika ini sebagai tidak munasabah memandangkan Cina dan India adalah etnik kedua serta ketiga terbesar di Malaysia.

Jelasnya, pengurusan sekolah juga disifatkan gagal menggalakkan pelajar mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda mereka.

“Kegagalan sekolah kebangsaan menawarkan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berpunca daripada keengganan pihak pengurusan sekolah untuk memberikan penekanan terhadap kedua-dua bahasa tersebut.

“Kementerian Pendidikan dan kerajaan perlu mengawal “little napoleons” pada peringkat pengurusan sekolah yang mengingkari arahan dengan memberikan seribu satu alasan untuk tidak menawarkan bahasa Mandarin dan Tamil,” katanya.

Foong turut mencadangkan kerajaan mengambil lebih ramai guru dari kaum Cina dan India termasuk menawarkan peluang kembali bertugas untuk pendidik dari sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil untuk menjayakan misi berkenaan.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini, berkata kerajaan bercadang memperluaskan pengajaran mata pelajaran bahasa tambahan untuk menjadikan sekolah rendah kebangsaan sebagai pilihan ibu bapa.

Radzi berkata sekolah rendah kerajaan pada masa ini menawarkan tiga mata pelajaran bahasa “komunikasi” tambahan kepada pelajar – Mandarin, Tamil dan Arab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.