PH, PN ada peluang jika PRN selepas PRU15, kata penganalisis

PH, PN ada peluang jika PRN selepas PRU15, kata penganalisis

Menurut penganalisis, ia membolehkan kedua-dua parti melakukan persediaan lebih baik untuk PRN termasuk mengenal pasti 'kawasan hitam' yang kurang mendapat sokongan.

Pilihan raya persekutuan dan negeri yang berasingan akan memberi manfaat kepada blok pembangkang, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berpeluang menang dengan menangguhkan pembubaran DUN yang dikuasai mereka sekiranya pilihan raya umum (PRU) parlimen diadakan tidak lama lagi, kata seorang saintis politik.

Wong Chin Huat dari Sunway University berkata mengadakan pilihan raya persekutuan dan negeri yang berasingan akan mengambil mood pengundi pada masa yang berbeza, justeru cenderung untuk memanfaatkan parti yang berbeza.

“Ia akan menjadi langkah yang bagi baik gabungan ini kerana ia selaras dengan penolakan mereka terhadap PRU15 diadakan pada musim tengkujuh, yang merupakan tanggapan semakin tidak popular di kalangan orang ramai,” katanya.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata PH dan PN akan dapat melakukan persediaan lebih baik untuk pilihan raya negeri (PRN), termasuk mengenal pasti ‘kawasan hitam’ dengan mengkaji corak pengundian PRU15, merujuk kepada kawasan yang kurang sokongan terhadap mereka.

Wong berkata PH dan PN boleh mendapatkan sokongan orang ramai jika mereka mengatasi Barisan Nasional (BN) dalam membantu rakyat semasa banjir akhir tahun.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember, serta ia dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak mulai Disember hingga Februari depan.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata pada Rabu bahawa kerajaan pimpinan PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN mereka jika PRU15 diadakan tidak lama lagi. Ini bagi membolehkan pemimpin negeri memberi tumpuan terhadap persiapan banjir dan membantu mangsa.

Pada Khamis, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut berkata negeri dikuasai oleh partinya juga tidak akan membubarkan DUN mereka serentak dengan Parlimen.

Wong berkata banjir teruk semasa PRU15 mungkin mendorong pengundi menghukum BN, demi kebaikan PH di negeri pantai barat, PN di Kelantan dan Terengganu, dan kedua-dua gabungan di Perlis, Kedah dan Pahang.

Bagaimanapun, jika pilihan raya persekutuan dan negeri dilakukan bersama, PH boleh mengharapkan untuk mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang, walaupun majoriti berkurangan, tetapi Negeri Sembilan boleh menjadi lebih teruk.

Wong berkata PAS mungkin mempunyai peluang lebih baik untuk mempertahankan Kelantan dan Terengganu pada 2023 jika BN menanggung kemarahan orang ramai kerana mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh.

Katanya, PH dan PN sepatutnya menetapkan masa pilihan raya negeri mereka pada Jun atau Julai kerana “tempoh bulan madu” BN akan hilang pada masa itu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata pilihan raya negeri nanti akan memberi peluang kepada pembangkang memulihkan keyakinan pengundi kerana kehilangan kuasa selepas 22 bulan berkhidmat di Putrajaya.

Bagi PN katanya, beliau berkata dua parti komponennya akan berdepan cabaran sukar untuk menarik undi kerana reputasi Bersatu sebagai pelompat parti dan prestasi lemah PAS dalam kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.