Kecualikan duti setem untuk penjual persendirian juga, gesa kumpulan perumahan

Kecualikan duti setem untuk penjual persendirian juga, gesa kumpulan perumahan

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan berkata, untuk berlaku adil kepada pemaju dan penjual persendirian, rumah 'sekunder' juga patut layak menikmati pengecualian duti setem.

Sebuah persatuan pembeli rumah menggesa pengecualian duti setem diperluaskan kepada rumah ‘sekunder’ juga.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pembeli rumah berkata, 75% pengecualian duti setem untuk penjualan hartanah yang diumumkan dalam Bajet 2023 perlu diperluaskan kepada penjual rumah persendirian juga.

Chang Kim Loong, setiausaha agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, tidak bersetuju dengan pengecualian duti setem itu kerana ia hanya menguntungkan pemaju dan pembeli pasaran khusus.

“Jika ada pengecualian, jangan tertumpu kepada pemaju, pertimbangkan pasaran ‘subsale’ juga,” katanya.

“Subsale” merujuk penjualan rumah persendirian di pasaran sekunder.

Beliau berkata, pengecualian duti setem yang diumumkan dalam Bajet 2023 akan menyebabkan pendapatan kerajaan lebih rendah serta perbelanjaan kerajaan dibayar menggunakan sumber cukai lain.

Katanya, pembayar cukai tidak patut memberi subsidi kepada pemaju apabila orang ramai membeli rumah dan pemaju perlu memberi lebih banyak diskaun untuk menjual hartanah lebih cepat, bukannya kerajaan melepaskan duti setem.

Berhubung peruntukan RM3 bilion untuk skim jaminan kredit perumahan bagi pekerja gig, Chang menyambut baik pengumuman itu kerana ia antara kaedah untuk membantu pekerja sektor tidak formal memiliki rumah pertama.

“Ekonomi gig menjadi penyelamat kepada ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mereka terpaksa menjadi pemandu e-panggilan, penghantar makanan serta melakukan kerja bebas lain.”

Pun begitu, katanya, pekerja ekonomi gig tidak patut dinafikan daripada mendapat pembiayaan untuk membeli hartanah.

Tetapi, beliau berharap skim pembiayaan ini terhad kepada pembeli rumah kali pertama yang membeli hartanah mampu milik atau jika mereka membeli dari pasaran sekunder.

“Ia tidak patut terhad kepada hartanah utama yang dibeli terus daripada pemaju.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.