Insentif dalam Bajet 2023 rangsang industri pelancongan, kata pengusaha hotel P Pinang

Insentif dalam Bajet 2023 rangsang industri pelancongan, kata pengusaha hotel P Pinang

Pengerusi MAH Pulau Pinang Tony Goh yakin insentif dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat yang diumumkan akan memanfaatkan sektor pelancongan tempatan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam mengumumkan sebanyak RM200 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023 untuk galakan, promosi dan pemasaran bagi memperkukuh pemulihan sektor pelancongan.
GEORGE TOWN:
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang menyifatkan Bajet 2023 sebagai insentif yang membantu merancakkan industri pelancongan, terutamanya di Pulau Pinang.

Pengerusinya Tony Goh berkata, beliau yakin insentif dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat yang diumumkan itu akan memanfaatkan sektor pelancongan tempatan serta meningkatkan lebih banyak penerbangan carter.

Bagaimanapun, menurut Goh, adalah lebih baik sekiranya dana pinjaman berjumlah RM10 bilion yang diumumkan semalam diberikan dalam bentuk insentif cukai.

“Saya berpendapat, lebih baik sekiranya jumlah pinjaman yang disediakan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) itu diubah kepada insentif cukai berikutan ia boleh memberikan lebih banyak manfaat kepada sektor pelancongan,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” di Dewan Rakyat berkata, dana pinjaman berjumlah RM10 bilion itu adalah melalui BNM bagi menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.

Beliau berkata, sebanyak RM200 juta turut disediakan untuk galakan, promosi dan pemasaran bagi memperkukuh pemulihan sektor pelancongan, manakala RM25 juta diperuntukkan untuk menyediakan insentif dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi menggalakkan pelancongan domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.