3 feri baharu Pulau Pinang dijangka siap Jun tahun depan

3 feri baharu Pulau Pinang dijangka siap Jun tahun depan

Komponen feri dan bentuk feri baharu itu telah mula kelihatan dan kemajuan sudah mencapai 40%.

Sebuah feri baharu Pulau Pinang yang dalam pembinaan di sebuah limbungan di Vietnam. (Gambar SPPP)
GEORGE TOWN:
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memaklumkan tiga feri baharu Pulau Pinang sedang rancak dibina secara serentak di dua limbungan di Vietnam dan kemajuan pembinaan telah mencapai 40%.

Pengerusinya, Tan Teik Cheng berkata, komponen feri dan bentuk feri Pulau Pinang yang baharu itu telah mula kelihatan dan dijadualkan siap pada Jun 2023.

Katanya, beliau mengetuai lawatan dua hari ke dua tapak pembinaan feri Pulau Pinang baharu di Vietnam bersama wakil Kementerian Pengangkutan serta Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

“Objektif lawatan adalah bagi meninjau kemajuan projek pembinaan feri baharu itu dan mengadakan perbincangan bersama pihak pembekal serta PPSB berkaitan pembinaan dan jadual penghantaran feri tersebut ke Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.

Tan berkata pelancaran feri untuk pengujian air dijadualkan pada bulan Mei tahun depan dan akan dihantar ke perairan Pulau Pinang pada penghujung bulan Jun 2023.

Beliau berkata, SPPP akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa mengenai perkembangan feri baharu Pulau Pinang dan maklumat lanjut berhubung konsep feri serta sebagainya pula akan dimaklumkan oleh PPSB kelak.

Katanya, SPPP juga percaya pengenalan feri Pulau Pinang yang baharu kelak akan memberi nafas baru kepada konsep reka bentuk dan berupaya memberikan perkhidmatan feri yang lebih baik kepada pengguna.

“PPSB sebelum ini telah memanggil satu tender terbuka bagi perolehan feri Pulau Pinang yang baharu itu dan sebanyak 36 syarikat telah memasuki tender tersebut dimana 23 pembida adalah syarikat tempatan dan 13 pembida adalah syarikat antarabangsa.

“Sembilan pembida telah disenarai pendek dan PPSB seterusnya telah melantik Damen Shipyards Gorinchem BV Netherlands sebagai pembida yang berjaya kerana dapat memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh PPSB. SPPP tidak terlibat langsung dalam urusan tender itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.