Tolak bubar Parlimen tak maksud tarik sokongan untuk PM, kata Hamzah

Tolak bubar Parlimen tak maksud tarik sokongan untuk PM, kata Hamzah

Hamzah Zainudin berkata, keputusan yang dicapai oleh 12 menteri itu berdasarkan konsensus parti dalam PN.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata, isu pembubaran Parlimen dan menyokong Ismail ialah ‘bab berbeza’.
SHAH ALAM:
Keputusan Perikatan Nasional (PN) yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini tidak boleh ditafsir sebagai menarik sokongan untuk Perdana Menteri Ismail Sabri.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata, isu pembubaran Parlimen dan menyokong Ismail ialah “bab berbeza”.

“Itu bab lain,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di Shah Alam.

Hamzah berkata demikian ketika ditanya sama ada surat daripada 12 anggota Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan pendiriannya tidak bersetuju pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini bererti PN menarik sokongan kepada perdana menteri.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan sama ada surat yang diutuskan oleh 12 menteri PN itu boleh dianggap sebagai hilangnya kepercayaan anggota Jemaah Menteri terhadap Ismail.

Menurut Asyraf, berdasarkan Klausa 4, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sudah hilang kepercayaan majoriti, beliau boleh meletak jawatan atau menasihatkan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, keputusan yang dicapai oleh 12 menteri itu berdasarkan konsensus parti dalam PN.

“PAS buat keputusan tak mahu adakan PRU, dan Abdul Hadi Awang buat kenyataan. Kami juga boleh buat kenyataan.

“Kami menteri-menteri terima arahan untuk tidak juga mahu diadakan PRU pada masa terdekat kerana ikut keputusan parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.