
Ketua menteri Hajiji Noor berkata jumlah itu meningkat 20.45% berbanding RM5.2 bilion dalam belanjawan tahun ini dan Sabah turut menikmati pelbagai projek pembangunan projek seperti baik pulih sekolah dan jalan raya.
Menurutnya, turut dialu-alukan langkah meningkatkan keselamatan dengan menaik taraf kem Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu selain menyediakan aset dan membina hospital medan.
Hajiji berkata, Sabah turut mendapat manfaat menerusi peruntukan RM1.2 bilion untuk membaiki sekolah di seluruh negara dengan 123 daripadanya di negeri itu selain pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu di Kiulu.
“Kita juga berterima kasih kepada kerana komitmen kerajaan pusat untuk memastikan peruntukan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap pada 2024.
“Turut disebut pembangunan bandar sempadan termasuk pembinaan jalan raya menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris di Indonesia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili berkata dana RM6.3 bilion untuk Sabah manakala RM5.4 bilion bagi Sarawak yang membabitkan RM4.1 bilion bagi tujuan pembangunan adalah seiring tumpuan ditekankan dalam Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).
“Bagi Sabah dan Sarawak, keperluan dan fokus pembangunan yang diketengahkan MKMA63 telah diambil tindakan dan diperuntukkan termasuk menyediakan peruntukan pembangunan untuk kemiskinan dan golongan B40,” katanya yang juga presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).
Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak akan terus menggunakan platform MKMA63 bagi memenuhi keperluan pembangunan di dua negeri berkenaan.