Mana peruntukan beli senjata baharu, soal pakar

Mana peruntukan beli senjata baharu, soal pakar

Peralatan baharu terutama kapal diperlukan untuk pertahanan tetapi bajet dilihat hanya cukup untuk penyelenggaraan.

Bajet 2023 memperuntukkan RM485 juta untuk membaiki kapal bagi pengawal pantai, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peruntukan bajet RM17.4 bilion untuk Kementerian Pertahanan dilihat tidak mencukupi bagi mendapatkan peralatan ketenteraan baharu yang dianggap penting dalam situasi geopolitik mencabar di Asia Tenggara, kata seorang pakar pertahanan.

Pensyarah Pusat Pendidikan Pertahanan Negara, Salawati Mat Basir, berkata peruntukan itu hanya mencukupi untuk menyelenggara peralatan sedia ada.

“Keselamatan negara amat memerlukan aset baharu. Ancaman bukan sahaja datang dari dalam tetapi juga dari luar, terutama di perairan, tetapi masalahnya ialah kita tidak mempunyai kapal mencukupi,” katanya kepada FMT.

Bajet 2023 dibentangkan hari ini memperuntukkan RM18.3 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri dan RM17.4 bilion bagi Kementerian Pertahanan, di mana RM4 bilion adalah untuk pembelian dan penyelenggaraan aset.

Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong berkata angka keseluruhan kementerian itu boleh diterima tetapi beliau mahu melihat kementerian menggariskan bagaimana RM4 bilion itu akan digunakan.

“Kami ingin melihat ikrar daripada kerajaan untuk memastikan semua perbelanjaan pertahanan dilakukan dengan pematuhan integriti yang tinggi” katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji Bajet 2023 kerana memperuntukkan dana sebanyak RM485 juta untuk membaiki kapal bagi pengawal pantai iaitu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tetapi, beliau melahirkan kekecewaan dengan kekurangan idea segar untuk membantu veteran tentera.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Sharuddin Omar, turut meluahkan rasa kecewanya dengan kekurangan peruntukan untuk veteran, serta pengumuman diskaun pengangkutan awam.

Seramani 21,000 pesara tentera dan polis akan diberikan diskaun 50% bagi pengangkutan awam di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, dan Pulau Pinang bagi perkhidmatan pengangkutan yang dikendalikan oleh Prasarana.

“Kita mempunyai 300,000 veteran tentera di negara ini, kurang daripada 10% daripada mereka akan dapat menikmati keistimewaan itu,” katanya.

Beliau juga kecewa dengan kekurangan bantuan untuk bekas tentera yang meninggalkan perkhidmatan sebelum umur bersara. Walaupun pesara mendapat bantuan kewangan RM350, tiada bantuan sedemikian untuk veteran bukan pesara.

“Selepas ini, saya ingin tahu mengapa kerajaan tidak responsif terhadap permohonan kami,” katanya.

Presiden Persatuan Kebajikan Veteran Polis, Hussin Awang Ngah juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan kekurangan insentif untuk veteran.

“Ia sangat mengecewakan. Seolah-olah kerajaan tidak menghargai golongan veteran. Mereka sepatutnya memikirkan sesuatu yang lebih baik daripada hanya memberikan diskaun untuk pengangkutan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.