Libatkan Orang Asli dalam agenda basmi miskin tegar, kerajaan diberitahu

Libatkan Orang Asli dalam agenda basmi miskin tegar, kerajaan diberitahu

Wakil Orang Asli Dewan Negara Senator Ajis Sitin membuat gesaan itu memandangkan kebanyakan masyarakat kumpulan Orang Asli masih dibelenggu kemiskinan.

Bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Ajis Sitin berkata, Orang Asli perlu dilibatkan secara langsung dalam agenda membasmi miskin tegar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Masyarakat Orang Asli berharap kerajaan turut melibatkan kumpulan itu menerusi agenda membasmi miskin tegar yang memperuntukan RM1 bilion menerusi Belanjawan 2023.

Wakil Orang Asli di Dewan Negara Senator Ajis Sitin membuat gesaan itu memandangkan kebanyakan masyarakat kumpulan Orang Asli masih dibelenggu kemiskinan.

“Saya berharap kerajaan turut melibatkan Orang Asli dalam usaha membasmi kemiskinan tegar yang diperuntukan sebanyak RM1 bilion dalam belanjawan tahun hadapan.

“Selain itu kami juga berharap Belanjawan 2023 kerajaan akan melibatkan Orang Asli dalam usaha mengubah ekonomi kehidupan keluarga termasuk melibatkan kumpulan itu dalam apa juga program yang membantu memulihkan ekonomi kehidupan,” katanya kepada FMT.

Ajis yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), berkata pihaknya berpuas hati dengan peruntukan RM305 juta dalam Belanjawan 2023 berbanding RM274 juta tahun ini.

Beliau turut memuji kesungguhan kerajaan melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman getah dan kelapa sawit yang memanfaatkan lebih 2,100 orang.

“Kami juga berterima kasih kepada kerajaan yang akan mempergiat Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 Orang Asli,”katanya.

Beliau menghargai kerajaan kerana mendengar tuntutan mereka termasuklah menyediakan bantuan persekolahan temasuk mengembalikan kuota tajaan untuk Orang Asli menyambung pelajaran ke luar negara.

Pada sesi pembentangan Belanjawan 2023 hari ini, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM305 juta kepada masyarakat Orang Asli merangkumi program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup serta pembangunan bersepadu perkampungan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.