
“Entiti milik kerajaan dan GLC yang kaya dan mewah, seperti Telekom, TNB, dan Petronas mesti sedar tanggungjawab besar mereka kepada masyarakat yang mengatasi keuntungan,” kata bekas menteri undang-undang itu kepada FMT.
“Perbadanan negara yang besar-besar itu mesti menghulurkan sokongan kepada pemain-pemain Bumiputera yang lebih kecil dalam industri masing-masing, dan bertindak dalam cara yang membolehkan perniagaan mereka berterusan.”
Zaid berkata, banyak perniagaan kecil teruk terjejas dalam kemelut ekonomi yang berlarutan bertahun-tahun akibat wabak Covid-19, perang Rusia-Ukraine, kemelesetan ekonomi sejagat, turun naik mata wang, dan inflasi.
“Banyak perniagaan dan kontraktor Bumiputera serata industri yang sudah lama bergiat sedang bergelut, terutama dalam bidang-bidang khusus,” katanya.
“Sekarang bukan masanya untuk mengambil kesempatan ke atas perniagaan-perniagaan ini, seperti menamatkan atau menggantung kontrak atau lesen, menahan bayaran, atau memerah harga barang dan perkhidmatan mereka,” katanya.
Sebaliknya sekaranglah masanya kerajaan dan GLC menyokong perniagaan-perniagaan kecil ini untuk memacu ekonomi, kata Zaid.
“Mereka mesti tunjukkan keadilan apabila membuat keputusan, terutama mengenai perkara-perkara yang boleh beri kesan kepada kelangsungan pemain-pemain kecil ini dalam ekosistem mereka,” kata Zaid.
Beliau mengingatkan bahawa mata pencarian ramai rakyat terkesan ketika ini.