
Beliau memberi contoh pada 1999 apabila Parlimen dibubarkan selepas belanjawan dibentangkan, di mana belanjawan sama dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri selepas pilihan raya.
Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang relevannya pembentangan belanjawan itu di tengah-tengah desus-desas mengenai pembubaran Parlimen.
Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 tidak sia-sia kerana ia menumpukan hala tuju masa depan negara.
“Laporan ekonomi menjelaskan tentang kedudukan kita pada hari ini dan hala tuju kita pada masa depan dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Sebagai contoh, defisit fiskal dijangka berada pada 5.8% daripada KDNK bagi 2022 dan terus berkurangan kepada 5.5% daripada KDNK pada 2023,” katanya dipetik Bernama dalam sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di Parlimen.
Beliau berkata, Bajet 2023 juga akan memperkukuh pemulihan dan daya tahan ekonomi serta melaksanakan pembaharuan menyeluruh melalui pendekatan kerajaan, iaitu responsif, bertanggungjawab dan reformis.
Mengenai pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Tengku Zafrul berkata, perbincangan mengenainya masih banyak bergantung kepada ekonomi negara pada 2023.
Sementara itu, katanya, cadangan pengurangan cukai tidak dinafikan akan memberi kesan kepada hasil kerajaan, tetapi ia akan menyuntik impak pengganda positif ke atas ekonomi negara.
Beliau berkata, ia termasuk wujudnya lebihan pendapatan yang akan menggalakkan rakyat berbelanja susulan pengurangan cukai itu.
“Memang pengurangan cukai ini akan memberi sedikit kesan (terhadap hasil), tetapi jumlah wang yang sebaliknya disalurkan semula ke dalam ekonomi dijangka dapat memberi impak pengganda, terutama potongan cukai ke atas kumpulan berpendapatan sederhana atau M40.”