Asas ekonomi Malaysia masih baik, kata penganalisis

Asas ekonomi Malaysia masih baik, kata penganalisis

Pelabur diberi jaminan bahawa penurunan dalam pegangan saham asing di Bursa Malaysia bukanlah petunjuk kelemahan dalam pasaran tempatan.

Pegangan saham asing di Bursa Malaysia jatuh ke paras terendah pada September, tetapi penganalisis memberi jaminan kepada pelabur ia tidak perlu dibimbangkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Walaupun pegangan saham asing di Bursa Malaysia merosot kepada paras terendah, dua pakar pasaran berkata, perkara itu tidak perlu dibimbangkan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, asas ekonomi Malaysia masih kukuh manakala rakan sejawatnya di MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, kemerosotan itu tidak akan memberikan implikasi yang ketara juga gambaran tentang keyakinan pelabur asing.

Dua pakar tersebut mengulas mengenai kemerosotan dalam pegangan saham asing di Bursa Malaysia kepada paras terendah, iaitu 7.8%, pada September.

Thong mengaitkan penurunan itu dengan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat.

“Ini menyebabkan pelabur memindahkan dana mereka ke pasaran AS,” katanya kepada FMT Business.

“Ini juga menjadi punca kejatuhan nilai ringgit, seperti yang berlaku pada mata wang lain,” katanya.

Thong berkata, kenaikan nilai dolar AS berbanding mata wang lain seperti ringgit juga akan meningkatkan kos pengeluaran di AS, sekali gus menyukarkan mereka menjual ke negara lain.

“Tetapi lebih mudah bagi Malaysia untuk mengeksport barangannya memandangkan ringgit akan menjadi lebih murah,” katanya.

Imran menyebut bahawa setakat Selasa lepas, aliran masuk bersih dana asing ke Bursa Malaysia pada 2022 adalah sebanyak RM6.57 bilion.

Beliau berkata, pemilikan asing dalam sekuriti Malaysia, berdasarkan permodalan pasaran, berada pada 20.6% pada September, meningkat daripada 20.1% pada bulan sebelumnya.

“Kami melihat aliran keluar bersih sebanyak RM1.6 bilion daripada 13 Sept hingga 3 Okt, tetapi juga perlu diberi perhatian bahawa ini bertepatan dengan mesyuarat jawatankuasa pasaran terbuka Rizab Persekutuan AS apabila mereka mengejutkan pasaran dengan bahasa yang agresif,”, kata Imran.

“Pandangan saya, aliran keluar ini disebabkan oleh faktor luaran, bukannya sebarang pembangunan domestik,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.