63 jemaah umrah Malaysia terkandas di Saudi sejak Jun

63 jemaah umrah Malaysia terkandas di Saudi sejak Jun

Kerajaan Malaysia akan membantu urusan penghantaran pulang 63 jemaah itu dengan usaha dan kerjasama agensi kerajaan berkaitan.

Wisma Putra dan pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, semua jemaah itu hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Seramai 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia yang terdiri daripada 28 orang dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

“Kesemua jemaah telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas,” menurut kenyataan bersama Wisma Putra dan pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

“Susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir oleh kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos 2022.

“Kerajaan Malaysia bersetuju membantu urusan penghantaran pulang jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi kerajaan berkaitan.”

Kenyataan itu menyebut Wisma Putra dan pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang jemaah terbabit ke tanah air dalam masa terdekat.

“Kementerian Luar sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.