10 keutamaan dalam Belanjawan 2023

10 keutamaan dalam Belanjawan 2023

Kementerian Pendidikan dan Kesihatan menerima peruntukan paling banyak daripada keseluruhan RM372.3 bilion di bawah Bajet 2023.

Tengku Zafrul Aziz menjawab soalan media selepas pembentangan Bajet 2023, dengan peruntukan terbesar untuk subsidi sebanyak RM55 bilion.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan dan Kesihatan menerima peruntukan paling banyak daripada keseluruhan RM372.3 bilion di bawah Bajet 2023, tetapi kementerian dan sektor lain turut diberikan peruntukan yang banyak.

Berikut 10 keutamaan dalam bajet persekutuan yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

1. RM55 bilion diperuntukkan untuk subsidi, bantuan dan insentif kerajaan. Ini termasuk RM7.8 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia yang akan memanfaatkan 8.7 juta penerima dan RM2.5 bilion bantuan kebajikan bagi 450,000 isi rumah.

2. Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM55.6 bilion, paling banyak antara semua kementerian. Sekurang-kurangnya RM1.1 bilion daripadanya akan digunakan untuk membaiki dan menyelenggara semua sekolah bagi memastikan pelajar mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif serta selamat.

3. Kementerian Kesihatan menerima peruntukan sebanyak RM36.1 bilion. Ini termasuk RM4.9 bilion untuk penjagaan kesihatan awam dan RM1.8 bilion untuk membina kemudahan kesihatan baharu serta perolehan peralatan perubatan baharu.

4. RM45 bilion diperuntukkan untuk geran dan pinjaman bagi usahawan di bawah dana Semarak Niaga, manakala RM10 bilion dana pinjaman daripada Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS.

5. Kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk inisiatif tebatan banjir dan RM2 bilion untuk membina kolam takungan dwifungsi bagi mengurangkan risiko banjir.

6. Digital Nasional Bhd menerima peruntukan RM1.3 bilion untuk memperluaskan liputan internet 5G di seluruh negara.

7. Syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan akan melabur RM50 bilion tahun depan, dengan RM45 bilion daripadanya dalam pelaburan langsung domestik.

8. Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan untuk kenaikan gaji penjawat awam Gred 11 hingga 56 sebanyak RM100, manakala RM1.3 bilion akan digunakan untuk bantuan khas “one-off” RM700 bagi 1.3 juta penjawat awam di bawah Gred 56.

9. Sebanyak RM11.7 bilion diperuntukkan untuk projek infrastruktur di Sabah dan Sarawak, serta kemudahan kesihatan dan pendidikan.

10. Kementerian Pertahanan menerima RM17.4 bilion, termasuk RM4 bilion untuk perolehan aset ketenteraan baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.