Santhara ‘gentleman’, minta ahli kekal setia kepada parti selepas tinggalkan Bersatu, kata Chong

Santhara ‘gentleman’, minta ahli kekal setia kepada parti selepas tinggalkan Bersatu, kata Chong

Ahli Parlimen Segamat itu tidak memberi sebarang sebab mengapa keluar Bersatu untuk menyertai PBM, kata Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full.

Tindakan Edmund Santhara Kumar itu diakui mengejutkan memandangkan sebelum ini beliau berjanji kekal setia dengan Bersatu dan menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai presiden, kata Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar tidak memberi sebarang sebab mengapa beliau keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full.

Chong berkata Santhara sebaliknya hanya meminta semua ahli termasuk dari sayap bersekutu supaya kekal dalam Bersatu, dan menarik sokongan bukan Melayu bersama parti itu.

“Lepas Santhara umum keluar, ada dalam kalangan pemimpin sayap kita hubungi beliau tanya kenapa keluar. Santhara tak jelaskan…tetapi sikap beliau sangat ‘gentleman’, beliau beritahu rakan-rakan dalam sayap bersekutu supaya kekal dalam Bersatu dan sokong Dr Chong yang mengetuai sayap bersekutu Bersatu,” katanya kepada FMT.

Chong mengakui tindakan Santhara mengejutkan memandangkan sebelum ini beliau berjanji kekal setia dengan Bersatu dan menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai presiden.

“Saya terkejut bila beliau kata nak tinggalkan Bersatu. Sebelum ini beliau kata nak kekal bersama selepas melepaskan jawatan ketua sayap bersekutu sebab mahu fokus kepada kerja kawasan Parlimennya, sebaliknya keputusan beliau keluar memang kita tak jangka.

“Bagaimanapun kita menghormati keputusan beliau itu. Walaupun beliau meninggalkan Bersatu, ia tidak memberi kesan kepada Bersatu khususnya dalam menarik sokongan bukan Melayu, dan kita akan fokus untuk bergerak ke hadapan untuk menghadapi PRU15,” katanya.

Chong berkata, selepas Santhara mengumumkan keluar Bersatu, sehingga kini tiada tanda tanya akan ada pemimpin lain dari sayap itu akan turut keluar.

“Saya ada tanya ahli lain dalam ‘group’ WhatsApp sayap bersekutu supaya mereka berterus terang adakah akan keluar juga Bersatu ikut Santhara, tapi mereka memaklumkan mahu kekal dalam Bersatu. Jadi tiada tanda-tanya mereka nak keluar beramai-ramai,” katanya.

Chong juga tidak menolak untuk parti itu bekerjasama dengan Santhara jika perjuangan mereka sama dan direstui parti.

“Kalau pendirian politik beliau masih sama dengan perjuangan Bersatu tiada masalah untuk kita bekerjasama. Kalau kita berbeza pandangan pun dengan parti politik lain ia hanya sekadar musuh politik bukannya… perang. Selain daripada politik, kita boleh berkawan macam biasa…walaupun berbeza parti,” katanya.

Semalam Presiden Pengganti PBM, Zuraida Kamaruddin mengumumkan Santhara dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar menyertai parti itu.

Zuraida, Santhara dan Xavier menang atas tiket PKR pada pilihan raya umum (PRU) 2018, dan meninggalkan parti itu pada 2020 melalui Langkah Sheraton.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.