
Beliau berkata demikian merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), hari ini, berhubung hutang kerajaan pada 2021 berjumlah RM979.81 bilion iaitu 63.4% daripada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Wong berkata, peningkatan hutang itu menyebabkan liabiliti keseluruhan kerajaan persekutuan pada 2021 kini berjumlah RM1.298 trilion iaitu 84% daripada KDNK negara.
“PAC bimbang dengan trend peningkatan hutang kerajaan persekutuan yang terus meningkat saban tahun apabila mendapati bahawa hutang kerajaan persekutuan pada tahun 2021 berjumlah RM979.814 bilion iaitu 63.4% daripada KDNK meningkat daripada RM879.560 bilion pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM100 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, walaupun penyata kewangan kerajaan 2021 itu diberikan Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran, terdapat perkara ditegaskan ketua audit negara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
“Antaranya, penegasan perkara termasuk bayaran balik pinjaman matang menggunakan pinjaman baharu, pengurangan peratusan perbelanjaan pembangunan, peningkatan hutang persekutuan dan pengiktirafan berbeza dengan prinsip pengiktirafan hasil asas tunai ubah suai,” katanya.
Katanya, pada 2021, kerajaan membuat pinjaman kasar berjumlah RM217.201 bilion peningkatan 11.6% daripada RM194.55 bilion, pada tahun sebelumnya.
“Sebanyak 52.4% atau RM113.764 bilion digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman matang,” katanya.
Wong berkata, berhubung pembayaran faedah pinjaman, 16.3% daripada kutipan hasil digunakan untuk tujuan tersebut.
“Maksudnya, setiap RM1 hasil yang dikutip, maka 16 sen adalah digunakan untuk bayaran faedah pinjaman,” katanya.