Mansuh hukuman mati mandatori, 7 RUU dibentang

Mansuh hukuman mati mandatori, 7 RUU dibentang

RUU itu dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Pindaan itu antara lain bagi memberi hakim budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak.
KUALA LUMPUR:
Tujuh rang undang-undang (RUU) berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Ia melibatkan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022, RUU (Pindaan) 2022, RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022 dan RUU Senjata (Pindaan) 2022.

Selain itu, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2022, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 3) 2022 dan RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 turut dibentang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang membentangkan RUU berkenaan berkata, bacaan kali kedua dijadual dibentangkan pada mesyuarat kali ini.

RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022 bagi meminda Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) antaranya bagi memberi hakim budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak.

RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 pula antara lain menyatakan seseorang yang berdagang senjata api hendaklah dihukum dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan disebat tidak kurang 10 kali.

Sementara itu, RUU Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2022 bertujuan menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, antaranya melibatkan pindaan Seksyen 302 yang memberi budi bicara kepada hakim berhubung hukuman mati.

RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022 pula bertujuan meminda Akta Keadilan Jenayah 1953 (Akta 345) dengan memasukkan seksyen baharu 3A bagi menjelaskan terma pemenjaraan sepanjang hayat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.