
Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, berkata KPM telah menawarkan mata pelajaran tambahan di SK, iaitu bahasa Cina komunikasi, bahasa Tamil komunikasi dan bahasa Arab komunikasi bagi menjadikannya sebagai sekolah pilihan masyarakat.
Katanya, kementerian akan terus memperkasa sekolah kebangsaan melalui inisiatif yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
“KPM sentiasa berusaha untuk memperkasakan SK dengan menyediakan infrastruktur lengkap dan berkualiti, mengupayakan pemimpin dan guru yang cekap, kompeten dan berkualiti, serta memastikan semua murid Tahap 1 menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang mempersoalkan langkah kerajaan bagi menarik lebih ramai pelajar bukan Bumiputera kembali bersekolah di sekolah kebangsaan.
Pada masa sama, Radzi berkata KPM turut memastikan kemenjadian murid secara holistik merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor, menyediakan sistem sokongan yang kuat dan mencukupi.
“KPM telah menyediakan iklim dan budaya sekolah yang sihat, serta menawarkan dan melaksanakan kurikulum kebangsaan dan memantapkan pelaksanaan aktiviti kokurikulum dan sukan,” katanya.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dilancarkan sejak 2013 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memperkasakan sistem pendidikan secara berterusan.
Secara terasnya, pelan yang bersifat holistik dan berterusan itu merupakan pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi pelajar.