
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Farouk Eshak berkata, tiga lelaki berusia 26 hingga 55 tahun itu ditahan di Ampang. Suspek paling muda mempunyai satu rekod jenayah, manakala suspek paling tua mempunyai 14 kesalahan lampau, ada yang membabitkan dadah.
Katanya, seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan semuanya direman sehingga 8 Okt ini.
Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Camry dan telefon bimbit suspek untuk membantu siasatan.
Ini menjadikan enam orang ditahan setakat ini dalam kes penculikan ini, selepas tiga lagi ditahan pada 2 Okt lalu.
Tiga lelaki yang ditahan minggu lalu itu didakwa atas tuduhan menculik di mahkamah Ampang pagi tadi. Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Mereka kemudian dibenarkan ikat jamin RM4,000 setiap satu, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Dis ini.
Seorang daripada tiga lelaki itu turut didakwa mendatangkan kecederaan kepada mangsa selepas didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Dia dibenarkan ikat jamin RM2,500.
Ahli perniagaan itu diculik ketika makan bersendirian di sebuah restoran pada Khamis lalu, dengan Farouk sebelum ini berkata, kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan hutangnya kepada majikan mangsa.
Beberapa orang awam dilihat mengejar, dengan beberapa lagi penunggang motosikal cuba memberhentikan kenderaan itu, tetapi gagal berbuat demikian.
Mangsa muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada malam kejadian untuk membuat laporan polis mendakwa dia dibebaskan penculik di Klang kira-kira lima jam selepas diculik.
Farouk berkata, mangsa cedera di muka dan kaki, serta mendapat rawatan di Hospital Ampang.