Gugur pertuduhan ke atas bekas ketua pengarang, Dr M gesa peguam negara

Gugur pertuduhan ke atas bekas ketua pengarang, Dr M gesa peguam negara

Bekas perdana menteri itu berkata, kes itu menjejaskan usaha kerajaan Pakatan Harapan terdahulu untuk mempromosikan kebebasan akhbar.

Dr Mahathir Mohamad berkata, Jabatan Peguam Negara patut membenarkan The Edge dan pihak yang didakwa difitnah menyelesaikan pertikaian mereka melalui tindakan sivil.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menggugurkan tuduhan fitnah jenayah terhadap bekas ketua pengarang The Edge atas artikel yang disiarkan mingguan perniagaan itu.

Bekas perdana menteri itu berkata, AGC sepatutnya membenarkan portal itu dan pihak yang didakwa difitnah menyelesaikan pertikaian mereka melalui tindakan sivil kerana itu caranya untuk menyelesaikan kes sedemikian dulu.

Katanya, beliau “sangat terganggu” dengan tuduhan yang dikenakan terhadap Azam Aris.

“Kesediaan pejabat pendakwa raya memulakan pertuduhan jenayah terhadap pengarang itu sedangkan penerbitan itu mendakwa jenayah sudah dilakukan agak membingungkan.

“Tidak kira apa logiknya, siasatan perlu ditujukan kepada individu yang didakwa melakukan jenayah itu,” kata pengerusi Pejuang itu dalam blognya.

Mahathir berkata, kes ini hanya akan mendatangkan intimidasi dan menjejaskan usaha kerajaan Pakatan Harapan terdahulu yang mentadbir selama 22 bulan untuk mempromosikan kebebasan akhbar.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ini akan menghakis penarafan kebebasan akhbar Malaysia yang merosot sejak dua tahun lalu.

Azam didakwa dengan dua pertuduhan fitnah jenayah pada 13 Sept lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Azam didakwa memfitnah Kua Khai Shyuan dan DGB Asia Bhd menerusi artikel yang disiarkan dalam The Edge pada 21 Sept 2020.

Dalam pertuduhan kedua, Azam dan seorang lagi pengarang, Shanmugam Murugasu didakwa memfitnah Kua, DGB Asia, Trive Property Group Bhd, Metronic Global Bhd serta MNC Wireless Bhd dalam satu lagi artikel yang disiarkan pada 12 April 2021.

Beberapa pihak mengkritik pertuduhan itu, dengan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dari DAP menuntut Peguam Negara, Idrus Harun menjelaskan keputusan itu kerana pihak yang didakwa difitnah boleh menyelesaikan pertikaian itu di mahkamah sivil.

Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat turut menyelar polis dan AGC berhubung pertuduhan itu, dengan berkata portal itu hanya memaklumkan pelabur mengenai dakwaan manipulasi pasaran saham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.