
“Alhamdulillah….Moga Allah pelihara dan berkati kita semua,” katanya dalam catatan itu yang menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial, jika ia menandakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Ismail menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 4 petang tadi, di tengah-tengah spekulasi beliau akan mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.
Terdahulu, Ismail dilaporkan berkata, beliau akan mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen pada majlis menghadap Agong hari ini, “jika berkesempatan”.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dipetik Malaysiakini sebagai berkata, majlis menghadap tadi hanyalah taklimat sebelum mesyuarat Jemaah Menteri dan tarikh pembubaran Parlimen tidak dibincangkan.
Wakil rakyat pembangkang dan Perikatan Nasional membantah PRU15 diadakan tahun ini kerana bimbang bencana banjir akibat peralihan monsun timur laut, yang dijangka bermula pertengahan November hingga Mac 2023.
Tetapi, Umno berulang kali mahu PRU15 diadakan tahun ini.