
Tertuduh, Wong Yew Loong, 44, dan Lim Siew Kin, 69, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa kepada mereka.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama sebagai ejen iaitu pengarah sebuah syarikat diamanahkan dengan penguasaan ke atas dua bidang tanah di Port Dickson telah melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan harta itu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Dis 2015 antara jam 11 pagi hingga 2 petang di satu alamat di Taman Rasah Jaya, menurut Harian Metro.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Kedua-dua tertuduh juga berdepan pertuduhan menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu resolusi pengarah syarikat sama bertarikh 8 Dis 2015 untuk dua harta iaitu dua bidang tanah berkenaan yang tertuduh ketahui adalah palsu.
Kesalahan dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan, Wisma Negeri, Jalan Dato Abdul Kadir, di sini, pada jam 10.16 dan jam 10.21 pagi, 14 Feb 2017.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi semua pertuduhan terhadap Yew Loong, manakala jaminan sebanyak RM20,000 kepada Siew Kin dengan seorang penjamin.
Syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai berdekatan dua kali seminggu.
Kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Cassandra Peter dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Nov 2022.