Kenapa letak kami di skala gaji lebih kecil, soal doktor kontrak ditawar jawatan tetap

Kenapa letak kami di skala gaji lebih kecil, soal doktor kontrak ditawar jawatan tetap

Doktor kontrak ditawar jawatan tetap berkata mereka mendapat kurang RM500 selepas diletakkan dalam UD43 berbanding di UD44.

Doktor kontrak berkata mereka berada dalam kerugian ketika masuk sebagai pegawai tetap. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Doktor kontrak yang diserap tetap diletakkan dalam kategori bawah berbanding pegawai perubatan lain walaupun melakukan tugasan termasuk menggalas tanggungjawab sama.

Menurut beberapa doktor, tindakan itu menimbulkan “keganjilan” sehingga menjejaskan moral.

Doktor yang bercakap kepada FMT berkata, “tidak adil sama sekali” memandangkan turut melakukan kerja sama seperti mereka yang memasuki perkhidmatan sebagai pegawai tetap dalam UD41 dan naik ke UD44 selepas menjalani “housemanship” selama dua tahun.

Bagaimanapun, doktor kontrak yang bermula pada UD41 diletakkan di UD43 apabila ditawar jawatan tetap tiga tahun kemudian.

Kata mereka, bukan saja perbezaan bayaran sekurang-kurangnya RM500, malah kenaikan gaji tahunan adalah RM225, berbanding RM225 diterima doktor di UD44.

Tahun lalu, lebih 1,000 doktor kontrak ditawarkan jawatan tetap, manakala selebihnya 3,500 dijadual mula bertugas, pada 17 Okt. Dianggarkan, terdapat 30,000 doktor kontrak.

Seorang doktor berkata, cukup aneh apabila terdapat dua skala gaji – satu bagi mereka yang diserap secara langsung pada masa lalu dan satu lagi bagi mereka yang menjalani khidmat kontrak tiga tahun sebelum ditawar jawatan tetap dalam sektor awam.

“Mereka yang berada dalam UD43 tidak layak menerima elaun keraian RM400 sebulan yang diberikan kepada mereka dalam UD44. Kebiasaannya, selepas empat tahun dalam kategori berkenaan, pegawai perubatan dinaikkan ke skala UD48 di mana gaji asas dan elaun lain juga meningkat.

“Jadi, dengan meletakkan kami dalam UD43 tanpa ada hitam putih berhubung kategori mana pula akan diletakkan seterusnya, banyak yang kami hilang. Keganjilan ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Seorang lagi doktor, berkata keadaan pilih kasih ini tidak boleh diterima kerana mereka tidak dapat memahami alasan diletakkan dalam skala berbeza. “Adakah kerajaan berfikir kami perlu menerima seadanya dan menunjukkan penghargaan hanya kerana mereka menjadikan kami pegawai tetap? Tolong layan kami seperti profesional,” katanya.

Bulan lalu, pegawai pergigian kontrak yang ditawarkan jawatan tetap diberitahu, mereka akan kembali ke gred permulaan sekiranya menerima tawaran dikemukakan.

Dalam surat tawaran kepada 300 doktor pergigian yang berjaya, baru-baru ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam berkata, mereka akan diletakkan di gred permulaan UG41 walaupun mereka sudah dinaikkan ke UG44 sebagai pegawai kontrak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.