Hubungan PAS-Bersatu Selangor ‘dingin’ isu kecil, boleh selesai, kata Tuan Ibrahim

Hubungan PAS-Bersatu Selangor ‘dingin’ isu kecil, boleh selesai, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS berkata, kedua-dua parti di peringkat negeri sentiasa berunding dan berbincang menyelesaikan masalah, termasuk melalui mesyuarat PN.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti komponen PN akan membawa apa saja isu berbangkit ke mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu.
PETALING JAYA:
Khabar angin mengatakan hubungan PAS dan Bersatu di Selangor “semakin dingin” akibat ketidakpuasan hati antara pimpinan parti komponen Perikatan Nasional (PN) berhubung pembahagian jawatan di peringkat bahagian hanya isu kecil yang boleh diselesaikan, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu berkata, pucuk pimpinan kedua-dua parti, termasuk di peringkat negeri sentiasa berunding dan berbincang menyelesaikan masalah yang timbul.

“Kita akan bawa apa saja isu berbangkit ke dalam Majlis Presiden PN. Jadi di situ, kita akan selesaikan semua. Malah, sebelum ini apa juga yang Bersatu bincang, mereka akan bawa dalam mesyuarat PN, jadi kita ada platform untuk bincang,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Terdahulu, FMT melaporkan hubungan PAS dan Bersatu di Selangor didakwa “semakin dingin” apabila timbul ketidakpuasan hati antara pimpinan parti komponen PN itu berhubung pembahagian jawatan peringkat bahagian.

Sumber parti dalam PN Selangor berkata, difahamkan ia membabitkan pembahagian jawatan ketua PN bahagian di 22 Parlimen bagi tiga parti komponen dalam gabungan itu.

“Di Selangor ada 22 kawasan Parlimen, mengikut perjanjian awal, pembahagian bagi jawatan ketua perhubungan PN bahagian adalah sembilan untuk Bersatu, sembilan untuk PAS dan empat untuk Gerakan yang dipersetujui tiga parti dalam PN.

“Tiba-tiba diubah kepada 10 Bersatu, lapan PAS dan empat Gerakan tanpa persetujuan PAS,” kata sumber itu kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.