Fasa 1 pemasangan lokar di sekolah rendah selesai akhir bulan ini, kata menteri

Fasa 1 pemasangan lokar di sekolah rendah selesai akhir bulan ini, kata menteri

Pemasangan lokar secara berperingkat itu melibatkan 626 sekolah di seluruh negara untuk murid Tahun Satu dan Dua bagi menangani isu beg berat.

Murid Tahun Dua, Nur Aleeya Amirah Yaakob memasukkan buku ke dalam lokar, selepas Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Fasa pertama pemasangan lokar di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi dijangka selesai akhir bulan ini, kata Menteri Pendidikan, Radzi Jidin.

Beliau berkata, pemasangan lokar secara berperingkat itu melibatkan 626 sekolah di seluruh negara untuk murid Tahun Satu dan Dua yang merupakan satu daripada tujuh inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu beg berat.

“Di Gombak saja, kita ada 38 sekolah dua sesi yang terlibat dalam menerima lokar dan sehingga kini lima sekolah selesai dipasang dan semua sekolah terpilih akan dipasang lokar sebelum akhir bulan ini.

“Kita minta pembekal untuk pasang secepat mungkin dan sekiranya ada pertambahan, kita akan selesaikan dalam fasa kedua,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lokar Fasa Satu Sekolah Kebangsaan Gombak Setia.

Sebelum ini, KPM mengumumkan tujuh inisiatif menangani isu beg berat, antara lain melaksanakan penyusunan semula jadual waktu, mengehadkan bilangan buku latihan dan pendekatan waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Bagi memastikan isu beg berat tidak berulang, Radzi berkata, pihaknya akan meminta Jemaah Nazir mengadakan pemantauan bagi memastikan tujuh inisiatif itu dipatuhi sebaiknya.

Beliau juga meminta ibu bapa dan guru bekerjasama memastikan murid dapat memanfaatkan inisiatif yang diberikan bagi meringankan beban mereka.

Radzi juga menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bersetuju pakaian seragam sekolah kebangsaan digunakan bagi kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Mengenai cadangan Umno untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 tahun ini, katanya, keutamaan sepatutnya diberikan kepada rakyat, termasuk menilai risiko banjir yang dijangka berlaku pada akhir tahun.

“Penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara adalah satu kebiasaan sejak sekian lama, dan pada masa sama, sekolah juga digunakan sebagai pusat mengundi.

“Bukan saja sekolah, guru juga banyak membantu pengurusan banjir, sebab itu saya kata kenapa (hendak adakan PRU15) sekarang, seolah-olah kita tidak ada masa lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.