
Bekas menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim, Yeo Bee Yin (PH-Bakri) berkata, amalan ketika ini menyaksikan pemaju swasta membayar perunding untuk menjalankan EIA bagi projek mereka dan menghasilkan laporan penilaian.
“Oleh itu, hampir semua, jika bukan semua (laporan EIA) kata projek itu ‘feasible’ kerana perunding akan memberi pandangan yang memihak kepada siapa yang membayar mereka, iaitu pemaju swasta.
“Justeru, sangat penting JAS, bukannya pemaju, menjadi pihak yang membayar mereka (perunding) yang menjalankan EIA,” kata Yeo ketika membahas pindaan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
Yeo mencadangkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menggunakan Seksyen 51(1)(a) dalam rang undang-undang dipinda itu untuk memaksa pemaju yang memerlukan kelulusan EIA, membayar JAS bagi meneliti laporan EIA mereka dan memberi kelulusan atau menolak projek itu.
Bayaran ini, kata Yeo, boleh digunakan kementerian untuk membayar perunding bebas atau mengambil lebih ramai kakitangan untuk menjalankan EIA supaya laporan EIA dikemukakan pemaju boleh dinilai lebih komprehensif.
Beliau turut menggesa kementerian meminda garis panduan EIA untuk menjadikan EIA terperinci (DEIA) boleh diakses orang ramai, NGO alam sekitar, kumpulan berkepentingan dan wakil rakyat.