
ADUN DAP itu berkata, Melaka tidak terkecuali daripada ancaman banjir ketika musim hujan di mana pada tahun lalu sahaja, terdapat kawasan di negeri itu yang telah empat kali dilanda banjir teruk.
“BN Melaka perlu tunjukkan kemajuan dalam usaha membanteras banjir atau membantah secara terbuka desakan pimpinan tertinggi Umno untuk membubarkan Parlimen sempena musim banjir.
“Desakan MT Umno untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum pada tahun ini merupakan langkah yang amat tidak bertanggungjawab kerana ia mengabaikan nasib rakyat Malaysia yang terpaksa menghadapi banjir,” katanya dalam kenyataan.
Kerk berkata, pada pilihan raya negeri (PRN) 2021, BN dalam manifestonya menjanjikan langkah dan projek bagi mengurangkan risiko banjir di Melaka.
Katanya, beliau juga pernah mempertikaikan teras manifesto BN itu dalam sesi debatnya dengan calon dari MCA di kawasan DUN Ayer Keroh berikutan banyak projek tebatan banjir bawah pentadbiran kerajaan BN dan PN sejak Mac 2020 tidak disiapkan selain mengalami kelewatan.
“Seorang Ahli Majlis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dari MCA pada dua minggu lepas juga mengakui bahawa projek tebatan banjir kilat di tiga lokasi dalam kawasan Ayer Keroh tidak dapat disiapkan pada Ogos 2022 seperti yang dijadualkan.
“Saya pernah dijemput menghadiri satu mesyuarat ‘taskforce’ hotspot banjir yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Negeri Melaka dan Exco pengurusan banjir pada 23 Ogos lalu namun tiada maklumat terperinci mengenai tindakan yang telah atau bakal diambil oleh pihak kerajaan negeri.
“Bagaimanakah rakyat Melaka boleh diyakinkan bahawa kerajaan negeri mengutamakan rakyat sekiranya kemajuan usaha membanteras banjir tidak diketahui, ahli majlis sendiri mengakui kelewatan, dan BN Melaka tidak membantah desakan mengadakan pilihan raya umum dalam musim banjir?,” katanya.