Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur, kata PAC

Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur, kata PAC

Perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun iaitu RM98 juta setahun juga adalah tinggi selain bercanggah konsep CSR.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata hanya satu dokumen melibatkan pelantikan KPISoft Malaysia Sdn Bhd untuk membangunkan aplikasi MySejahtera ialah NDA oleh firma dan MKN.
PETALING JAYA:
Pelantikan KPISoft Malaysia Sdn Bhd sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Putrajaya, menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam satu kenyataan berkata, tidak ada satu minit mesyuarat atau dokumen sokongan mengenai pelantikan KPISoft (sebelum ini bernama Entomo).

“Satu-satunya dokumen yang wujud ialah perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang ditandatangani oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan dan KPISoft,” katanya.

Wong berkata, pelantikan KPISoft pada Mac 2020 didapati adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan tatacara perolehan kerajaan.

Katanya, penetapan harga siling yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun iaitu RM98 juta setahun juga adalah tinggi, selain bercanggah dengan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera,” menurut kenyataan itu.

“Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera,” menurut kenyataan itu.

Setakat April 2022, kerajaan didapati masih belum mendaftarkan harta intelek bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO yang boleh menyebabkan aplikasi ini dituntut pemilikannya oleh pembangun aplikasi.

Wong berkata, PAC telah mengesyorkan kerajaan supaya menyemak semula kewajaran pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus yang dibuat melalui Jemaah Menteri bertarikh 26 Nov 2021.

Ambil alih aplikasi MySejahtera, kerajaan diberitahu

PAC menggesa Putrajaya menyemak semula keputusannya untuk mengadakan rundingan terus dengan MySJ bagi pemindahan sistem aplikasi daripada KPISoft. Ini telah diputuskan oleh Kabinet pada 26 Nov 2021.

Sebaliknya, jawatankuasa itu berkata, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) boleh mengambil alih pembangunan dan operasi aplikasi kerana ia mempunyai kepakaran.

Wong juga menggesa kerajaan supaya lebih berhemat dalam perolehan, berkata syarat tawaran CSR mesti dinyatakan dengan jelas dan tidak boleh dijadikan sebagai “laluan alternatif” untuk rundingan langsung.

Beliau juga menggesa kerajaan menetapkan garis panduan untuk tawaran CSR.

PAC mahu Putrajaya perlu mengekalkan pemilikan penuh MySejahtera, yang boleh terus digunakan dalam mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam, sambil memastikan keselamatan data pengguna.

Jawatankuasa itu telah memanggil Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Harjeet Singh Hardev dan Ketua Pengarah MKN Rodzi Md Saad.

Laporan lengkap PAC boleh didapati di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.