Bersatu yakin PAS tolak syarat Umno, bertentang matlamat perjuangan

Bersatu yakin PAS tolak syarat Umno, bertentang matlamat perjuangan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rosol Wahid berkata syarat itu dilihat lari daripada kehendak agama.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rosol Wahid berkata matlamat utama PAS adalah menyatupadukan Melayu-Islam melalui parti berteraskan kepada perjuangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata beliau yakin PAS tidak akan menerima syarat dikemukakan Umno sekiranya mahu menjalinkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Rosol Wahid berkata, ini kerana syarat dikemukakan Umno bertentangan dengan hasrat PAS dan matlamat utama parti itu adalah menyatupadukan Melayu-Islam melalui parti yang berteraskan kepada perjuangan tersebut.

“Jika atas dasar perpaduan, saya yakin PAS menolak syarat tersebut tapi saya tidak pasti sama dia (PAS) menerima atau tidak.

“Itu pandangan saya, sebab kita tahu matlamat PAS tetapi syarat-syarat tersebut nampaknya lari daripada kehendak agama,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna yakin PAS lebih memilih penyatuan ummah bersama Bersatu.

Ketika ditanya mengenai syarat dikenakan Umno, Rosol menjelaskan, perkara itu adalah hak untuk mana-mana parti.

“Itu hak Umno (tentukan syarat) tetapi sama ada PAS terima atau tidak, terpulanglah. Bagi Bersatu mudah sahaja, orang tak ingin kita pun tak mahu,” katanya.

Pada 2 Okt Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata PAS perlu memenuhi tiga tuntutan jika mahu kembali menjalin kerjasama politik, bagi berdepan PRU15.

Katanya, tiga tuntutan itu adalah keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Beliau berkata, tiga syarat itu dikemukakan ketika bertemu Presiden PAS Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.