Beri pelepasan cukai untuk penyumbang dana PIBG, kerajaan digesa

Beri pelepasan cukai untuk penyumbang dana PIBG, kerajaan digesa

Beberapa YDP PIBG berkata dana PIBG terlalu penting kini kerana hampir semua program dilaksana dan kemudahan diperlukan di sekolah dibiayai dana ibu bapa dan guru.

YDP PIBG SMK Jalan Reko, Muhammad Nasron Nasir bersama para penyumbang dana.
PETALING JAYA:
Mereka yang menyumbang kepada dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seharusnya diberi pelepasan cukai untuk menggalakkan lebih banyak sumbangan dibuat demi kepentingan murid dan juga guru-guru.

Itu cadangan dikemukakan Yang Dipertua PIBG, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, Muhammad Nasron Nasir.

Ujar Nasron, sudah menjadi “open secret” bahawa tabung PIBG diperlukan bagi menampung keperluan program dan prasarana sekolah, selain peruntukan daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Pihak KPM meletakkan beban dan tanggungjawab yang tinggi kepada PIBG setiap sekolah agar berperanan aktif membantu KPM dalam urusan pengoperasian dan menambah baik kualiti sekolah, khususnya dalam mencari dana.

PIBG SK Taming Jaya turut menyumbang mengadakan kelas pertanian dan menyediakan tenaga pengajar untuk murid.

“KPM mewajibkan beberapa program untuk sekolah laksanakan, namun dana yang diterima tidak mencukupi. Maka, PIBG lah menjadi tempat sekolah mengadu.

“Tandas rosak, laluan pelajar, bumbung bocor, pemuliharaan kipas dan lampu kelas, pembangunan dewan, unit siar raya, alat bantuan mengajar dan banyak lain, semuanya perlukan pembabitan dari PIBG,” tulisnya di Facebook miliknya.

Impak positif jika diluluskan

Katanya, pihaknya berharap Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini di Parlimen akan turut mengetengahkan isu ini, yang padanya akan membawa impak positif jika diluluskan.

“Diharap dengan pelepasan cukai (mungkin RM500? Mungkin lebih lagi?) dapat menggalakkan lagi ibu bapa dan orang awam untuk terus menyumbang kepada dana PIBG. Ianya boleh dilakukan, namun tiada suara yang mendesak,” katanya.

FMT menjejak beberapa lagi YDP dan masing-masing bersetuju dengan cadangan Nasron.

Salina Bee Zafarullah.

YDP PIBG SMK Tinggi Kajang, Sarina Bee Zafarullah, berkata jika cadangan pelepasan cukai diluluskan, ia akan menggalakkan ibu bapa serta orang awam menyumbang terutama bagi persatuan yang ibu bapanya begitu “liat” menderma.

“Bila boleh tuntut semula (wang) daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) macam Lembaga Zakat buat. Bila boleh tuntut balik, ramai yang membayar zakat tau, sebenarnya.

“Cadangan ini sangat praktikal dan saya rasa kerajaan pun tak terfikir nak bagi pelepasan cukai untuk penyumbang PIBG. Sumbangan untuk PIBG ini penting untuk sekolah. Nak buat apa-apa projek atau program sekolah, pakai duit PIBG ini tau?” katanya kepada FMT.

PIBG terpaksa gerak sendiri, cari dana

Hamidun Ismail, yang sudah lebih lapan tahun memegang jawatan YDP SMK Desa Serdang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taming Jaya, di Seri Kembangan memberitahu, umum mengetahui kebanyakan PIBG ketandusan dana.

Malah, PIBG tertentu terpaksa bergerak sendiri mencari dana untuk menampung keperluan mendesak guru dan murid.

“Di SK Taming Jaya ada lebih 3,000 orang pelajar, dan sekolah ini turut menyediakan pendidikan khas untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU). Kami terpaksa membantu menyediakan kemudahan asas untuk pelajar ini seperti kemudahan tandas OKU. Kita juga memperuntukkan sedikit dana untuk pendidikan khas seperti program pertanian dan menyediakan tenaga pengajar juga.

“PIBG kami juga mengumpul dana daripada ibu bapa, orang awam serta korporat untuk membina sebuah dewan, lima tahun lepas, untuk kegunaan sekolah,” katanya kepada FMT.

Dewan di SK Taming Jaya yang dibina hasil tabungan PIBG dan sumbangan orang perorangan dan juga korporat.

Justeru, Hamidun berharap, cadangan pengecualian cukai bagai penyumbang dana PIBG akan diterima dan turut diperjuang KPM.

Seorang YDP PIBG di selatan tanah air, Dr Zarafi Ahmad memberitahu FMT, pihaknya pernah mengajukan perihal pelepasan cukai ini di LHDN Johor, namun jawapannya mengecewakan.

Beliau yang juga tenaga pengajar di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, sumbangan dana kepada PIBG akan disalurkan kepada murid dan juga guru yang akan membantu mengurangkan beban KPM.

Justeru, cadangan pelepasan cukai ini harus disokong semua pihak terutama KPM.

“Kalau nak tunggu peruntukan dari kementerian mungkin tak cukup dan mungkin lambat. Jika ia berjaya dilaksanakan, saya percaya lagi banyak sumbangan yang boleh kita dapatkan.

“Ini untuk kebaikan pihak sekolah juga. Cadangan ini belum ada disuarakan. Tapi jika kami tak suarakan, siapa lagi?” tegasnya.

Bagi tahun taksiran 2021, LHDN menyenaraikan sebanyak 26 perkara pelepasan cukai antaranya pelepasan individu (individu kurang upaya, suami atau isteri kurang upaya, yuran pengajian sendiri), gaya hidup, perubatan dan peralatan berkaitan (perbelanjaan melancong dalam negara, perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius dan rawatan kesuburan, pembelian bahan bacaan, laptop, dan pembelian peralatan sukan).

Juga pelepasan cukai untuk jagaan anak (persekolahan anak, yuran taman asuhan kanak-kanak, anak kurang upaya), selain caruman dan sumbangan (insurans nyawa dan KWSP, Perkeso, insurans perubatan dan banyak lagi).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.