
Dalam satu surat kepada Nurul Izzah pada Jumaat lalu yang dilihat FMT, Azhar memberitahu cadangannya untuk meminda Seksyen (1)(b) dan (1)(c) di bawah Bahagian II Jadual Kedua Perlembagan Persekutuan menyentuh Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, untuk Artikel 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, sebarang pindaan terhadap keperluan di bawah Bahagian III tidak boleh diluluskan tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja.
“Pada pandangan saya, sebarang jadual yang menjadi sebahagian jadual lagi harus dibaca dengan undang-undang yang berkaitan.
“RUU ini tidak mematuhi Perintah Tetap 49(1) kerana ia gagal memenuhi keperluan undang-undang Persekutuan.
“Atas sebab itu saya menolak permohonan untuk membawa RUU Persendirian ini ke mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.
Azhar juga mencadangkan Nurul Izzah berbincang dengan menteri berkaitan untuk membolehkan RUU itu dibentangkan.
RUU itu mahu meminda Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan perkataan “atau ibu” selepas perkataan “bapa” dalam Klausa (1)(b) dan (1)(c).
Klausa tersebut menyatakan bahawa setiap orang yang dilahirkan di luar persekutuan pada atau selepas Hari Malaysia, yang bapanya pada masa kelahiran adalah warganegara Malaysia, akan dianggap sebagai warganegara Malaysia mengikut kuatkuasa undang-undang.
Cadangan pindaan itu mahu memasukkan ibu dalam klausa berkenaan.
Beberapa Ahli Parlimen turut mengemukakan RUU Persendirian berhubung perkara itu termasuk Azalina Othman Said (Pengerang), Hannah Yeoh (Segambut), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Fuziah Salleh (Kuantan) dan Alice Lau (Lanang).