Digantung keahlian 6 tahun bukan ‘hukuman mati’, saya ‘masih’ Umno, kata Tajuddin

Digantung keahlian 6 tahun bukan ‘hukuman mati’, saya ‘masih’ Umno, kata Tajuddin

Tajuddin Abdul Rahman berkata 'tiada masalah' untuk dirinya walaupun digantung keahlian selama enam tahun kerana beliau 'masih Umno'.

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi pada Sabtu lalu mengesahkan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman digantung keahlian selama enam tahun.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau “masih Umno” walaupun digantung keahlian selama enam tahun oleh kepimpinan parti.

Kenyataan itu dibuat kali pertama selepas media melaporkan mengenai penggantungan beliau pada Sabtu.

“Tiada masalah, kita masih Umno. ‘No problem’.

“Gantung itu bukan gantung mati, apa ada masalah. Kalau nak gantung, gantung bagi mati, dia okay. Kalau tak mati, takut dia hidup balik,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi pertanyaan lisan.

Beliau dicelah oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang yang bertanya sama ada bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu mahu bertanding lagi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, ahli MKT Umno Puad Zarkashi mengesahkan Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bersama ketua Umno Alor Setar Mohd Yusof Ismail.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKT pada Jumaat lepas.

Sebelum itu, Tajuddin ketika sesi pertanyaan lisan meminta kerajaan menyatakan senario cabaran ekonomi dalam dan luar negara, serta tindakan menanganinya.

Beliau mendakwa, isu buruh yang tidak berkesudahan sehingga kini menyebabkan negara khususnya dalam sektor elektrikal dan elektronik (E&E) hilang ratusan bilion ringgit kerana tidak dapat memenuhi permintaan negara luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, berkata Kementerian Sumber Manusia sedang memperincikan perkara itu dan sedang berusaha menyelesaikan isu berbangkit dengan agensi berkaitan.

“Seramai 450,000 pekerja asing dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia tetapi setakat ini hanya 100,000 yang baru masuk.

“KSM sedang perinci apa masalah sama ada di pihak Imigresen, atau dari negara sumber dan kita harap perkara ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.