
Beliau berkata baki 6% yang belum disiapkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) selaku syarikat pembuat adalah membabitkan reka bentuk terperinci yang tidak kritikal iaitu zon kapal permukaan atas air.
“Bagi zon kritikal, reka bentuk terperinci telah siap antara 98 hingga 100%…hampir siap. Ia adalah zon kapal di bawah permukaan air,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pada sidang Dewan Rakyat.
Fadhli meminta penjelasan daripada Ikhmal Hisham sama ada masalah reka bentuk terperinci yang berlaku sebelum ini akan menyebabkan pembinaan LCS lewat siap berbanding sasaran kerajaan iaitu dalam tempoh dua tahun ini.
Mengulas lanjut, Ikhmal Hisham berkata fokus Kementerian Pertahanan pada masa ini untuk memastikan perincian reka bentuk dapat dimuktamadkan serentak dengan pembinaan kapal itu dan memenuhi keperluan tentera laut sebagai pengguna akhir.
Jelasnya, Naval Group telah meluluskan 82% daripada 94% yang telah disiapkan sehingga Nov 2019 dan rundingan antara BNS dengan Naval yang berpangkalan di Perancis juga sedang berjalan.
“Ini penting bagi pastikan apa jua diputuskan kelak dapat penuhi keperluan tentera laut sebagai pengguna akhir.
“Naval Group juga akan menghantar pasukan teknikalnya untuk melakukan audit terhadap reka bentuk terperinci tersebut pada bulan ini,” katanya.
Projek LCS mendapat perhatian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selepas ia berkata RM6 bilion telah dibelanjakan sejak 2014 tetapi tiada satu pun daripada enam kapal itu disiapkan atau diserahkan.
Kapal pertama dijadualkan untuk diserahkan pada April 2019.
Pada 8 Ogos, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, LCS pertama yang dibina oleh BNS akan siap dalam “sekurang-kurangnya setahun hingga dua tahun”
Bagaimanapun, ia dipersoalkan bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong, yang menyatakan unjuran Hishammuddin tidak realistik.