Bayi digigit, dipulas telinga, polis tahan pengasuh

Bayi digigit, dipulas telinga, polis tahan pengasuh

Terdapat kesan gigitan di muka dan pulasan di telinga disyaki dilakukan kanak-kanak lain bawah jagaan pengasuh berkenaan.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata ibu bayi tersebut mendapati ada kesan gigitan di muka serta kesan pulasan di telinga ketika mengambil bayi berkenaan di rumah pengasuh.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pengasuh bagi membantu siasatan susulan terdapat kesan gigitan pada muka dan telinga seorang bayi bawah jagaannya di Taman Putra, Ampang Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata penahanan pengasuh wanita berusia 43 tahun dilakukan selepas polis menerima laporan daripada ibu bayi tersebut, pada Jumaat.

Beliau berkata, ibu bayi tersebut mengambilnya di rumah wanita terbabit sebelum mendapati ada kesan gigitan di muka serta kesan pulasan di telinga.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Farouk berkata, bertindak atas laporan dibuat ibu mangsa, polis menahan suspek di rumahnya, 11.45 malam, Sabtu lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek meninggalkan mangsa di rumah sebelum anak asuhan lain menggigit muka bayi itu.

“Suspek direman empat hari sehingga 5 Oktober ini. Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai enam anak asuhan berusia tiga bulan hingga dua tahun selain mempunyai anak kandung yang tinggal bersamanya masing-masing lelaki dan perempuan berusia 16 dan lapan tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.