
Katanya, beliau tetap setia kepada parti yang memberi ruang kepadanya bertanding pada pilihan raya umum lalu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PBM Zuraida Kamaruddin, semalam, berhubung dua ADUN Negeri Sembilan dalam proses menyertai PBM.
Diew Ching berkata, beliau tidak mengetahui siapa individu dimaksudkan menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu.
“Mudah sahaja, saya dipilih atas tiket PKR, jadi saya ini turut setia dan pegang dengan prinsip menghormati amanah diberikan rakyat. Selagi saya dipilih atas tiket PKR, saya setia bersama PKR,” lapor Utusan Malaysia.
Sementara itu, Diew Ching bagaimanapun mengakui, terdapat “pihak” yang cuba mendekati dirinya dan meminta untuk melompat keluar dari PKR.
“Untuk pengetahuan, memang banyak parti yang cuba mendekati saya untuk bertukar parti. Kalau saya mahu lompat, awal-awal lagi saya sudah lompat iaitu ketika ‘bernilai’ tinggi bukan sekarang ketika sudah menghampiri ‘tarikh luput’, saya tidak akan menjual maruah sendiri.
“Ada pihak yang cuba sebarkan berita palsu dan tidak betul dan mengatakan saya cuba melompat ke (parti) Warisan, PBM, macam-macam. Saya tolak sangkaan itu,” katanya.