
Katanya, beliau sudah menyuarakan hasrat itu kepada pucuk pimpinan parti yang belum memuktamadkan senarai calon untuk PRU15.
“Saya sudah menyatakan dengan jelas saya mahu mempertahankan Pandan, sedang menunggu keputusan parti.
“Ini kerana saya boleh berkempen dengan lebih berkesan di peringkat nasional untuk calon PKR, jika saya bertanding di Pandan, di mana kami mempunyai sokongan sangat baik dan cukup mantap,” katanya kepada wartawan di Pulau Pinang.
Rafizi memenangi kerusi Pandan pada 2013, ketika beliau pertama kali bertanding untuk kerusi Parlimen. Kini, kerusi itu disandang bekas presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Rafizi pernah menjadi Ahli Parlimen Pandan sepenggal bermula 2013 hingga 2018 selepas menewaskan calon MCA, Lim Chin Yee, dengan majoriti 26,729 undi.
Beliau tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU14 selepas tidak layak bertanding kerana proses rayuan yang masih berjalan membabitkan hukuman 30 bulan penjara yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Februari 2018, selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan milik National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya, Salleh Ismail.
Pada 2018, Dr Wan Azizah mengambil alih kerusi itu dengan kemenangan besar 52,543 undi majoriti menewaskan calon MCA, Leong Kok Wee.
Pada November 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi kerana pihak pendakwaan gagal mengemukakan dokumen asli seperti diperuntukkan dalam Seksyen 61 Akta Keterangan.