
Sebaliknya, Pemuda Umno cuba membakar api perkauman berhubung isu buku tulisan bekas peguam negara yang disiasat kerajaan itu dengan harapan untuk meraih sokongan Melayu, katanya.
Rafizi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, yang mempersoalkan mengapa pemimpin Pakatan Harapan berdiam diri berhubung siasatan berkenaan sedangkan pimpinan pembangkang mendakwa merekalah yang paling mendaulatkan undang-undang.
“Saya tahulah mengapa Pemuda Umno buat bising kerana Pemuda Umno dia hanya ingin mainkan isu perkauman sebab dia ingat dengan terus mengapi-apikan perkauman terhadap Tommy Thomas lah..terhadap kerajaan PH lah..itu akan bagi sokongan Melayu dalam pilihan raya kali ini,” kata Rafizi.
“Mereka salah…sebab kita tahu fokus pengundi, temasuklah pengundi Melayu adalah soal kehidupan harian,” kata Rafizi kepada pemberita selepas berucap dalam kempen Ayuh Malaysia, di sini, hari ini.
Katanya, pengundi ingin tahu parti mana yang mahu menangani peningkatan kos sara hidup menerusi dasar berkesan dan parti mana pula yang membarisi calon bijak dan mempunyai rekod baik.
“Jadi kami (PH) akan fokus dengan yang itu,” katanya.
Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Thomas kerana didakwa menghasut dan beberapa kesalahan lain seperti diarahkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Pasukan petugas khas yang ditubuh bagi meneliti dakwaan dalam buku Thomas mengenalpasti 19 isu penting dalam empat perkara: dakwaan terhadap badan kehakiman, selain mengambil tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta melakukan kecuaian profesional.
‘Pemimpin Umno terus hidup dalam kepompong’
Rafizi juga membidas seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang mengkritiknya susulan dakwaan Umno mahu pilihan raya disegerakan kerana berdepan hakisan sokongan pengundi Melayu yang menjunam.
“Kalau dia nak terus nak duduk dalam kepompongnya begitu, maksudnya ‘in total denial’ (dalam penafian penuh) atas sentimen rakyat di bawah. ‘Good luck to them’ (semoga berjaya),” katanya.