
AJK Umno Bahagian Alor Setar, Shokri Yaacob, berkata semua pemimpin bahagian kecewa dengan keputusan yang didakwa dibuat secara terburu-buru itu tanpa melihat sumbangan Yusof dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14.
“Tindakan terburu-buru pucuk pimpinan Umno akan memusnahkan peluang BN merampas kembali Parlimen Alor Setar dan dua daripada tiga kerusi DUN di bawahnya, iaitu Suka Menanti dan Alor Mengkudu yang dimenangi PH sebelum ini.
“Kita buat persiapan selama empat tahun, selepas Yusof dilantik ketua bahagian, beliau banyak membantu meyakinkan rakyat kembali sokong Umno. Malah, rakyat boleh hubungi Yusof minta bantuan. Kalau tengah malam mohon, malam itu juga beliau hantar,” katanya kepada FMT.
Beliau mendakwa, kekalahan BN pada PRU14 menyaksikan orang Umno sendiri malu memakai baju parti, tetapi keadaan berubah selepas Yusof membantu memulihkan sokongan rakyat terhadap Umno bahagian itu.
“Mereka berani balik pakai baju ada logo BN pergi merata tempat, termasuk menghadiri kenduri. Orang mula anggap kawasan Alor Setar kawasan terbaik untuk Umno-BN. Kalau nak banding dengan bahagian lain di Kedah dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat, ia tak setanding apa yang dilakukan Yusof, pergilah tanya mana-mana kawasan pun.”
Kataya, semua 32 AJK Bahagian Alor Setar menemui Ketua Umno Kedah, Jamil Khir Baharom petang semalam untuk merayu kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menarik balik keputusan menggantung Yusof yang akan menjejaskan persiapan parti menghadapi PRU15.
“Tindakan presiden itu keterlaluan kepada Umno Alor Setar kerana bertindak tanpa mengambil kira kebergantungan Umno bahagian kepada pengaruh Yusof. Jentera pilihan raya yang diatur juga akan hancur dan momentum persiapan PRU juga hilang.”
Beliau memaklumkan Jamil memberi jaminan akan cuba berbincang dengan pucuk pimpinan pusat untuk menarik balik keputusan penggantungan itu.
Selepas AJK bahagian, katanya, semua 109 ketua cawangan Umno di seluruh Alor Setar akan mengadakan pertemuan dengan Jamil pula petang ini bagi membincangkan perkara sama.
Selain Yusof, Umno turut menggantung keahlian Ahli Parlimen Pasir, Salak Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun dan memecat Ketua Cawangan Umno Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan, Zaharin Mohd Yasin kerana didakwa lantang menentang pemimpin parti.