
Presiden Muda itu menyangkal dakwaan bahawa partinya berhasrat merampas kerusi dipegang DAP, PKR dan Amanah.
Syed Saddiq berkata, partinya yang berasaskan belia hanya mahu menjadi pelengkap kepada sayap pemuda parti-parti tersebut.
“Kami harap parti pembangkang akan mula meletakkan lebih ramai calon muda dan segar,” katanya kepada FMT, sambil menyatakan bahawa hanya sebilangan kecil kerusi dikhaskan untuk calon belia sehingga kini.
Beliau menyebut bahawa Umno telah meletakkan calon muda pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka November lepas.
“Walaupun kita tidak bertanding, semua parti sedar keperluan untuk menyusun semula senarai calon berbanding meletakkan ‘panglima perang’ (warlord) sama yang telah menguasai landskap politik Malaysia selama berdekad-dekad,” katanya.
Syed Saddiq berkata, lebih mudah bagi sayap pemuda parti politik lain untuk mendapat pengiktirafan lebih besar bagi calon muda jika partinya menjadi sebahagian daripada PH.
Mereka tidak hanya tertumpu kepada calon muda tetapi juga ndividu yang mempunyai idea disruptif, katanya.
Syed Saddiq menjelaskan bahawa kemasukan Muda dalam PH tidak akan mengganggu seperti didakwa sesetengah pihak.
“Saya melihat (Muda) sebagai pelengkap, di mana kita boleh bersaing antara satu sama lain untuk memastikan golongan muda dalam semua parti mendapat tempat lebih baik dan suara yang lebih besar dalam membentuk politik Malaysia.”
Permohonan kemasukan Muda dalam PH mendapat tentangan hebat PKR pimpinan Anwar Ibrahim, dengan beberapa pemimpinnya mencabar Muda membuktikan kemampuan dengan bertanding di kerusi sukar seperti di pantai timur.
Bendahari PKR William Leong berkata, Muda tidak akan menambah nilai kepada PH dan memberi amaran bahawa akar umbi PKR boleh menjadi “lemah semangat” jika parti itu terpaksa memberi laluan kepada calon Muda.