
Bertahun-tahun memerangi pengganas komunis pada 1970-an dan 1980-an, dengan helikopter Nurinya pernah terkena tembakan, Ibrahim kini adalah golongan B40.
Sebaliknya, pesara dengan pangkat sama selepas 2013, pencen mereka dua kali ganda lebih tinggi daripada Ibrahim, keadaan yang menjejaskan ribuan anggota tentera.
“Saya adalah penerima Pingat Tentera Udara (PTU), iaitu anugerah keberanian persekutuan yang tidak diperolehi ramai warga TUDM.
“Saya antara mereka yang ditembak oleh komunis semasa kemuncak peperangan gerila. Saya bersara sebagai mejar pada 1992, selepas berkhidmat selama 25 tahun dengan penuh dedikasi,” katanya kepada FMT hari ini.

Terdahulu, Ibrahim memberitahu Bernama, gaji pokok maksimum pangkat mejar ketika itu ialah RM2,584 dan pencen yang diterimanya ialah 50% daripada gaji pokok, iaitu RM1,292.
“Sehingga 2013, apabila kerajaan beri pelarasan 2% setiap tahun. Setelah 26 tahun bersara, baru sekarang (2022) saya menikmati pencen RM2,682. Ini bermakna saya tergolong dalam kategori B40.”
Beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan perkara ini dengan serius kerana ia menjejaskan kehidupan pesara susulan kenaikan kos sara hidup secara mendadak sejak sedekad lalu.
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) turut memohon isu elaun penerima Pingat Jasa Malaysia, kenaikan bantuan sara hidup kepada veteran ATM B40 dan pelarasan pencen dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini.
Presiden PVATM, Sharuddin Omar berkata, pembentangan Belanjawan 2023 amat dinanti-nantikan warga veteran di seluruh negara kerana tiga permintaan itu melibatkan kebajikan anggota veteran.
“Kami mahu bajet kali ini memberi manfaat kepada semua warga veteran,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.