
“Tunggu dulu…Tunggulah kalau dari tahun lepas sudah tunggu tahun ini boleh tunggu juga,” kata perdana menteri selepas menghadiri perhimpunan khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di pusat pameran dan konvensyen Matrade.
Ketika diminta mengulas desakan Umno supaya Parlimen dibubarkan secepat mungkin, Ismail berkata ia bukan perkara baharu.
Beliau memberi jaminan mandat akan dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu tidak lama lagi.
“Dari dulu Umno minta percepatkan pilihan raya, bukan baru cakap. Kita nak kembalikan kepada rakyatlah untuk buat penentuan (pilih pemimpin kerajaan baharu),” katanya.
Ditanya sama ada Umno menetapkan syarat kepadanya untuk menetapkan tarikh bila pilihan raya diadakan, Ismail berkata “tidak ada sebarang syarat diletak Umno untuk saya buat keputusan bubar Parlimen”.
“Tidak ada (syarat Umno)…Kita dari segi Umno ada ‘top 5′, ada biro politik, tak ada siapa beri sebarang syarat. Kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah cuma tarikh itu tunggulah pengumuman,” katanya.
Beliau yang juga naib presiden Umno berkata, pendiriannya selaras dengan apa diumumkan setiausaha agung parti, Ahmad Maslan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.
“Semalam (malam tadi) Ahmad sudah buat ‘statement’ (kenyataan) jadi kita pakai statement dia sebagai setiausaha agung, sebab kita dah putuskan dalam MKT, ‘spokesman’ (jurucakap) dia seorang saja,” katanya.
Dalam kenyataan malam tadi Ahmad berkata, Umno mencapai konsensus pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.
Beliau berkata, Ismail akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.