Puad sahkan Tajuddin digantung keahlian Umno 6 tahun

Puad sahkan Tajuddin digantung keahlian Umno 6 tahun

Penggantungan Ahli Parlimen Pasir Salak dan ketua Umno Alor Setar diumumkan dalam mesyuarat MKT Umno malam tadi.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman digantung keahlian Umno selama enam tahun.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengesahkan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman digantung keahlian selama enam tahun.

Puad Zarkashi berkata, penggantungan Tajuddin yang juga ketua Umno Pasir Salak dan ketua Umno Alor Setar Mohd Yusof Ismail diumumkan dalam mesyuarat MKT malam tadi.

“Ya Tajuddin dan Yusof kedua-duanya digantung selama enam tahun,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Yusof ketika dihubungi FMT memaklumkan tidak mengetahui punca digantung keahlian memandangkan sehingga kini tiada makluman rasmi mengenai perkara itu dibuat ibu pejabat Umno.

Beliau sebaliknya mengetahui daripada Ketua Umno Kedah Jamil Khir Baharom yang menghubunginya pagi tadi.

Yusof tidak menolak keputusan penggantungan itu kesan tindakannya yang kerap mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara tertutup sebelum ini.

Pada sidang media selepas mesyuarat MKT malam tadi, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan memaklumkan pemecatan Ketua Cawangan Umno Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan, Zaharin Mohd Yasin.

Pemecatan Zaharin dilihat berkait tindakannya yang lantang menentang pemimpin parti sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.