
Calon Pakatan Harapan (PH) itu yang menentang Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam PRK itu mendakwa, kesetiaannya kepada PKR yang disertainya sejak 2008 seolah-olah tidak dihargai, terutamanya oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun yang juga naib presiden PKR.
“Saya kecewa dengan PKR, selepas kalah di Rantau, makin saya setia dengan parti, mereka pinggirkan saya…tak panggil saya untuk buat apa-apa.
“MB Negeri Sembilan kata, saya tak perlu buat kerja untuk rakyat. Saya kata tak mengapalah, dah mereka tak nak khidmat kita, jadi kita masuk parti lain yang nak khidmat kita,” katanya kepada FMT.
Selain dirinya, Streram mendakwa ramai lagi pemimpin cawangan dan bahagian PKR di Negeri Sembilan yang diketepikan Aminuddin.
“Ramai (di Negeri Sembilan) tak suka PH sekarang, sebab ramai diketepikan.”
Desas-desus Streram mencuba nasib politiknya menerusi PBM tercetus, apabila tular gambarnya yang didakwa menghadiri mesyuarat penyelarasan penubuhan PBM Negeri Sembilan di Seremban awal bulan lalu.
Bekas timbalan ketua PKR bahagian Rembau itu mula dikenali selepas terbabit kontroversi pilihan raya umum 2018. Beliau yang bertanding di DUN Rantau ketika itu, dilarang memasuki pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menyebabkannya gagal menghantar borang pencalonan.
SPR mengumumkan Mohamad menang tanpa bertanding. Bagaimanapun, pada November 2018, Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yang menyebabkan PRK perlu diadakan.
Streram sekali lagi mewakili PH dalam PRK Rantau pada Mac 2019, tetapi tewas kepada Mohamad yang berjaya mempertahankan kerusi itu dengan mendapat 10,397 undi berbanding 5,887 undi yang diraih Streram.
Mengulas lanjut, Streram yang kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua PBM Bahagian Seremban dan bendahari negeri berkata, beliau dipelawa menyertai parti itu oleh Presiden Pengganti PBM, Zuraida Kamaruddin dan rakan politiknya.
“Saya didekati Zuraida dan kawan-kawan saya dalam PKR, jadi saya hanya ikut saja sebab saya mahu berkhidmat untuk rakyat, dan saya perlukan platform politik untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya tengok ideologi PBM okey dengan saya.”