
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, tragedi itu disaksikan adik bongsu kepada dua mangsa terbabit.
Katanya, kejadian berlaku ketika dua beradik berumur 10 dan 11 tahun itu bermain air di luar rumah pada petang Jumaat, selepas bapa mereka ke kedai yang terletak kira-kira 1 hingga 2km.
“Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah,” katanya menurut Sinar Harian.
“Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik. Adiknya cuba bantu selamatkan abangnya, tapi turut terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian.”
Norazlin berkata, jenazah dua mangsa masih berada di Hospital Serdang untuk bedah siasat, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang dekat Kajang.
Katanya, pihak sekolah sedang mengutip derma untuk membantu keluarga dua mangsa yang dikatakan asnaf tanpa pendapatan tetap.
“Kutipan ini dilakukan bagi meringankan beban keluarga mangsa. Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual.”
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun PIBG SK Bandar Baru Bangi 12100000758712 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) sehingga 5 Okt. Kemudian, transaksi itu perlu dihantar kepada Norazlin Syahidah di talian 016-746818 untuk pengesahan penerimaan dan rekod.