Sokong PM sepenuhnya jika rakyat perlu terima kerajaan ‘huru-hara’, Waytha beritahu Loke

Sokong PM sepenuhnya jika rakyat perlu terima kerajaan ‘huru-hara’, Waytha beritahu Loke

Loke Siew Fook baru-baru ini berkata rakyat terpaksa menerima kerajaan ketika ini yang 'huru-hara' kerana masih tidak sesuai untuk mengadakan PRU15.

P Waytha Moorthy berkata Loke Siew Fook mengeluarkan kenyataan yang berubah-ubah mengikut kepentingannya dalam isu sokongan kepada kerajaan.
PETALING JAYA:
Presiden Malaysian Advancement Party (MAP), P Waytha Moorthy menggesa Pakatan Harapan (PH) memberi sokongan sepenuhnya kepada pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekiranya percaya rakyat perlu menerima kerajaan ketika ini.

Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata rakyat terpaksa menerima kerajaan ketika ini yang “huru-hara” kerana masih tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Katanya, walaupun penting untuk memilih kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah membelenggu negara, Loke berkata, mengadakan PRU15 dalam tempoh terdekat akan membebankan rakyat ketika musim banjir makin hampir.

Waytha dalam kenyataan hari ini berkata: “Sekiranya perlu untuk mengekalkan kerajaan yang huru-hara, jadi seluruh kepimpinan PH perlu memberi mandat kepada Ismail untuk mentadbir tanpa halangan sehingga situasi sesuai untuk pilihan raya.

“Loke merendah-rendahkan kebijaksanaan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan yang berubah-ubah mengikut kepentingannya.

“Walaupun saya bersetuju banjir adalah antara faktor tetapi masih ada justifikasi berkaitan yang perlu dipertimbangkan,” katanya.

Waytha memberi contoh, perbalahan antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Ismail yang juga naib presiden Umno.

Umno dan Bersatu antara parti utama yang membentuk kerajaan diterajui Ismail.

Waytha yang juga bekas menteri perpaduan berkata, melainkan kerajaan mempunyai mandat yang kuat untuk berani bertindak, ia tidak mampu menangani isu seperti kenaikan kos sara hidup, mata wang ringgit yang melemah dan masalah ekonomi dihadapi golongan B40.

“Dalam keadaan seperti ini, mana-mana pemimpin akan segera mengadakan pilihan raya dan mengembalikan mandat kepada rakyat demi kepentingan negara dan rakyatnya,” katanya.

Beliau memberi contoh, United Kingdom di mana pilihan raya umum tidak perlu dilakukan sehingga 2024 tetapi pembangkang mendesak Parlimen dibubarkan kerana kejatuhan pound sterling akibat pemotongan besar cukai, peningkatan kadar faedah dan inflasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.