Pengurusan kes saman dera anjing 11 Okt

Pengurusan kes saman dera anjing 11 Okt

Peguam mewakili kumpulan hak asasi haiwan itu berkata saman difailkan terhadap Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan Lembaga Kebajikan Haiwan.

Video berdurasi 19 saat menunjukkan seekor anjing dikatakan cedera selepas ditangkap pegawai penguat kuasa. (gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi di Klang menetapkan 11 Okt untuk pengurusan kes saman terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dua agensi kerajaan kerana didakwa mendera anjing semasa operasi kawalan haiwan.

Seorang peguam mewakili dua kumpulan hak asasi haiwan yang memfailkan saman itu berkata, plaintif perlu memaklumkan mahkamah pada pengurusan kes seterusnya mengenai status penyampaian writ dan pernyataan tuntutan terhadap defendan.

“Kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan melalui e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Nur Azura Murah pada 11 Okt,” Joshua Wu memberitahu FMT.

Kedua-dua kumpulan hak asasi haiwan itu memfailkan saman terhadap Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan Lembaga Kebajikan Haiwan pada 8 Sept kerana didakwa mendera anjing semasa operasi kawalan haiwan.

Rajesh Nagarajan daripada Lawyers for Animal Rights, berkata saman itu difailkan oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Haiwan Malaysia, S Mukunnan dan Bendahari Persatuan Pencinta Hak Asasi Haiwan Ulu Langat, M Ravi Shankar di Mahkamah Tinggi Klang.

Rajesh berkata keadaan semasa anjing itu tidak diketahui.

Pada Ogos lalu, MPK dikritik susulan video berdurasi 19 saat yang dikatakan menunjukkan seekor anjing didera selepas ia ditangkap oleh pegawai penguat kuasa majlis.

Video yang tular itu menunjukkan anjing itu berdarah di mulutnya sambil diikat pada tali. Beberapa orang yang melihat kedengaran memarahi pegawai penguat kuasa kerana mencederakan haiwan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.