Krisis buruh ancam status Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Asia

Krisis buruh ancam status Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Asia

Masalah sumber tenaga menjadikan Malaysia destinasi pelaburan kurang menarik, amaran itu dinyatakan ketua menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika mencadangkan supaya kerajaan segera membawa masuk buruh asing

Zon perindustrian bebas Bayan Lepas.
PETALING JAYA:
Dikenali sebagai ‘Lembah Silikon Asia’, Pulau Pinang menguasai 5% daripada eksport semikonduktor global pada 2019. Momentum itu dijangka akan terus meningkat, sehingga berlakunya krisis buruh – yang menjadi batu penghalang untuk ia terus berkembang.

Ketika ekonomi global beralih ke fasa endemik Covid-19, negeri utara Malaysia itu dijangka meluaskan peranan utamanya dalam rantaian bekalan sektor elektrikal dan elektronik (E&E), dengan lonjakan eksport selepas pandemik.

Bagaimanapun, masalah buruh yang berpanjangan telah menggagalkan harapan berkenaan. “Kami menjangkakan keadaan akan bertambah buruk jika tiada tindakan diambil,” kata ketua menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow kepada FMT.

Tambahnya, pemain industri di Pulau Pinang berharap Putrajaya dapat menyelesaikan krisis buruh itu bersama negara jiran segera, dengan membawa masuk sumber tenaga yang amat diperlukan.

Amaran Chow selari dengan bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani dan bekas menteri kewangan era Pakatan Harapan (PH) Lim Guan Eng, yang kedua-duanya bersuara sebagai tindak balas terhadap liputan berterusan FMT mengenai krisis buruh yang tidak pernah berlaku sebelum ini walaupun bertentangan ideologi politik.

FMT berulang kali melaporkan kebimbangan sektor E&E yang terpaksa menolak tempahan bernilai jutaan ringgit dan usaha gigih mereka untuk terus beroperasi dengan menggantikan pengurusan kanan dan eksekutif ke bahagian pengeluaran.

Kekurangan buruh mampu memberi tekanan kepada pelabur untuk keluar dari Pulau Pinang ke lokasi yang lebih menguntungkan dan menghalang pelaburan baharu. Dengan kedudukan strategik, Malaysia dan Pulau Pinang bersedia untuk menjadi destinasi pelaburan alternatif teknologi dan pembuatan E&E di Asia Tenggara.

Terdapat peluang untuk berkembang apabila dunia berusaha mengubah haluan rantaian bekalan di sebalik ketegangan geopolitik yang dicetuskan oleh perang teknologi antara Amerika Syarikat dan China.

Namun, masalah sumber tenaga ini bermakna Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhannya berisiko kerugian apabila rantaian global distruktur semula.

Keperluan jangka pendek

Tindakan mitigasi yang pantas mesti diambil untuk menyokong perkembangan sektor pekerjaan pembuatan E&E, aktiviti nilai tambah dan eksport. Pada 2021, eksport E&E bernilai RM456 bilion dan membentuk 37% daripada jumlah eksport Malaysia.

“Paling penting buat masa ini adalah untuk Malaysia membawa masuk buruh asing, sebagai langkah menghentikan jurang, untuk menyokong keperluan mendesak industri E&E,” kata Chow.

Sekurang-kurangnya 14,000 pekerja tempatan dan asing diperlukan segera untuk memenuhi keperluan tenaga kerja sektor itu. Bagaimanapun, terdapat penurunan 70% dalam pengambilan baru dari Ogos hingga Oktober 2021 dan angkanya masih belum meningkat dengan ketara.

Keperluan jangka panjang

Walaupun kekurangan buruh menyebabkan masalah jangka pendek hingga sederhana, kekurangan bakat berkemahiran tinggi dalam industri menghalang keupayaan Malaysia untuk beralih kepada sektor bernilai tinggi.

Menurut Johari, Malaysia amat memerlukan strategi bakat yang mampan, dan konsisten dengan visinya untuk menjadi ekonomi bernilai tinggi berkemahiran tinggi. Ini bermula dengan memastikan graduan negara ini bersedia dalam industri.

Kerajaan mesti bekerjasama dengan majikan dan menyokong penggunaan automasi, robotik dan teknologi IR4.0 yang boleh meningkatkan pekerjaan, sambil melengkapkan bakat tempatan untuk peranan ini.

Sumber industri berkata apa yang diperlukan oleh sektor E&E sekarang ialah bakat industri untuk menyelia, menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur berteknologi tinggi apabila pembuatan pintar meningkat.

Mengambil inisiatif itu, Pulau Pinang telah memulakan pendidikan, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula penduduk tempatan untuk membantu membangunkan sumber bakat yang mampan bagi sektor pembuatan. “Pulau Pinang sedang bekerjasama dengan institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) untuk menangani jurang penawaran dan permintaan,” kata Chow.

Ketua menteri itu menaruh harapan tinggi bahawa merapatkan jurang sumber bakat membantu syarikat daripada terus bergantung kepada buruh asing, sementara sumber bakat sedia ada bagi membantu mengekalkan status ‘Lembah Silikon Asia’ yang dikecapi negeri itu.

Namun, katanya, walaupuan tindakan itu sebagai penyelesaian jangka panjang, apa yang syarikat perlukan sekarang ialah bekalan buruh asing segera.

“Pulau Pinang hanya mampu buat apa yang terdaya. Tanggungjawab masih terletak pada kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan krisis buruh di samping mempercepatkan penyelesaian pengurusan bakat dalam jangka panjang.

“Jika tidak, Malaysia berisiko diketepikan dalam persaingan global untuk pelaburan langsung asing berkualiti, yang merupakan enjin utama ekonomi negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.