‘Khabar angin’ perubahan kerusi Klang untuk uji sokongan, kata sumber DAP

‘Khabar angin’ perubahan kerusi Klang untuk uji sokongan, kata sumber DAP

Perkara itu disyaki disebarkan oleh puak penyokong Ean Yong Hian Wah yang melihat Parlimen Klang sebagai kerusi yang terjamin bagi DAP, menurut sumber.

Charles Santiago kini memegang kerusi Parlimen Klang manakala Ean Yong Hian Wah mewakili Seri Kembangan.
PETALING JAYA:
Desas-desus mengenai perubahan kerusi DAP di Klang hanya dimainkan oleh puak dalam parti untuk menguji sokongan bagi pemimpin mereka, kata sumber dalaman parti yang menyokong Charles Santiago, penyandang kerusi kubu kuat DAP itu.

Satu sumber memberitahu FMT, puak itu terdiri daripada penyokong Ean Yong Hian Wah dan mereka melihat Parlimen Klang sebagai kerusi yang terjamin bagi DAP.

Selasa lepas, memetik sumber yang enggan didedahkan, media melaporkan bahawa DAP Selangor mungkin menggantikan Santiago dengan Ean Yong, ADUN Seri Kembangan.

Laporan itu menyebut, Santiago akan ditawarkan kerusi DUN sebagai ganti. Menurutnya, 28 daripada 42 cawangan DAP di Selangor menyokong Ean Yong menggantikan Santiago.

Dalam tiga pilihan raya umum sejak 2008, Santiago makin menambah majoritinya di Klang. Beliau menang dengan majoriti 17,701 pada 2008, 24,685 pada 2013 dan 78,773 pada 2018.

“Santiago sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat. Beliau dikenali sebagai seorang berhati rakyat di Klang. Santiago mendapat sokongan semua kaum,” kata sumber itu.

Rabu lepas, Santiago berkata, beliau tiada perancangan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Klang dan mahu menumpukan usaha berdepan musim banjir, berbanding membazirkan tenaganya memberi komen mengenai perkara itu.

Satu lagi sumber memberitahu bahawa Ean Yong mengintai Parlimen Klang kerana baginya, kerusi itu mudah dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Ean Yong menjadi anggota Exco Selangor selama dua penggal tetapi prestasinya tidak begitu cemerlang,” katanya.

ADUN Seri Kembangan itu dikatakan bertemu komuniti dan pemimpin perniagaan di Klang baru-baru ini untuk mendapatkan pandangan dan mungkin menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi itu. Kumpulan ini memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Saya difahamkan bahawa kebanyakan pemimpin ini memberitahu Ean Yong mereka selesa dengan Santiago kerana dia bukan bersifat populis seperti kebanyakan ahli politik lain,” kata sumber itu.

Katanya, beliau mengesyaki penyokong Ean Yong sengaja menyebarkan cerita itu kepada media untuk melihat reaksi pengundi dan kepimpinan DAP.

Sumber lain berkata, segelintir pihak lain menjadikan perkara ini sebagai suatu isu perkauman.

Daftar pemilih pada 2018 bagi kawasan itu menunjukkan pengundinya terdiri daripada 55% berbangsa Cina, 26% Melayu dan 18% India.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook juga menafikan ada perancangan untuk perubahan di kerusi Klang, dengan berkata, partinya belum memuktamadkan senarai calon mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.